Hukum Makmum Masbuq Melantik Imam Dari Kalangan Masbuq
Apakah hukum seorang makmum yang masbuq setelah imam memberi salam, makmum masbuq tersebut melantik makmum masbuq yang lain sebagai imam nya?
Bismillahirrahmanirahim.
Lama dah tak menulis hukum bab solat ni sebenarnya.
Kebetulan hari tu ada seorang sahabat saya Ustaz Umar bertanyakan hukum tentang masalah ni kerana disoal oleh jemaah pengajian. Lalu beliau bertanyakan kepada al-Faqir berkenaan masalah ini.
Seingat saya, saya pernah menjawab persoalan ini dahulu tahun 2025 persoalan ini.
Cuma tidak ditulis, dan saya jumpa jawapan masalah ni pertama kalinya disebut dalam kitab Fathul A'lam bi-Syarhi Mursyidil Anam karangan Sayyid Muhammad bin Abdullah al-Jurdani jilid 2/447. Kemudian saya jumpa jawapan yang sama pada masalah ini setelah meluaskan bacaan dalam kitab al-Qaul al-Tam fi Ahkamil Makmum wal Imam m/s 156. Setelah itu, saya baca syarah bagi kitab al-Qaul al-Tam iaitu Wablul Ghamam fi Ahkamil Makmum wal Imam karangan Sayyid Muhammad bin Abdurrahman al-Ahdal pada m/s 191.
Permasalahan ini diringkaskan mudah didalam kitab Fathul A'lam seperti di bawah :
أو قام مسبوقون فاقتدى بعضهم بعض فيصح - أيضا - على المعتمد ؛ لكن مع الكراهة
Terjemahan : "Atau bangkit berdiri para makmum masbuk dan mereka saling mengikut sebahagian yang lain (melantik menjadi imam) sesama mereka maka sah solat mereka - menurut pendapat yang muktamad akan tetapi bersama kemakruhan" (Fathul A'lam m/s 447)
Manakala di dalam al-Qaul al-Tam, Imam Ibn Imad menyatakan hukum dengan ada 2 qaul :
َلَّمَ الإِمَامُ وَفِي القَوْمِ خَلْفَهُ مَسْبُوقُونَ، قَدَّمُوا مَنْ يُتِمُّهَا بِهِمْ وَاقْتَدَوْا بِهِ، فَفِي جَوَازِهِ وَجْهَانِ، أَصَحُّهُمَا فِي شَرْحِ الْمُهَذَّبِ: الْجَوَازُ، وَفِي الرَّوْضَةِ عَكْسُهُ؛ لِأَنَّ الْجَمَاعَةَ حَصَلَتْ.
قَالَ فِي شَرْحِ الْمُهَذَّبِ: وَمَا ذَكَرَهُ مِنَ الْجَوَازِ اعْتَمَدَهُ، وَلَا تَعْتَدَّ بِمَا فِي الِانْتِصَارِ لِابْنِ أَبِي عَصْرُونَ (٢٧٩) مِنْ تَصْحِيحِ الْمَنْعِ.
قَالَ: فَلَوْ كَانَ هَذَا فِي الْجُمُعَةِ لَمْ يَجُزْ لِلْمَأْمُومِينَ الِاقْتِدَاءُ فِيمَا بَقِيَ عَلَيْهِمْ وَجْهًا وَاحِدًا؛ لِأَنَّهُ لَا يَجُوزُ جُمُعَةٌ بَعْدَهَا جُمُعَةٌ، بِخِلَافِ غَيْرِهَا. وَالَّذِي ذَكَرَهُ مِنَ التَّصْحِيحِ الْمُعْتَمَدِ وَقَوْلُ الْأَوَّلِ: إِنَّ الْجَمَاعَةَ حَصَلَتْ، يَنْفِي الْجَوَازَ؛ لِأَنَّ فِي الِاقْتِدَاءِ هُنَا فَوَائِدَ أَيْضًا: مِنْهَا تَحَمُّلُ السَّهْوِ.
وَمِنْهَا: تَحَمُّلُ السُّورَةِ فِي صَلَاةِ الْجَهْرِيَّةِ، وَحُصُولُ الْأَجْرِ بِالْكَامِلِ؛ لِأَنَّ الْعَجْلِيَّ ذَكَرَ عَنِ الْبَغَوِيِّ كَمَا سَبَقَ أَنَّ الْمَسْبُوقَ لَا يُكْتَبُ لَهُ مِنْ أَجْرِ الْجَمَاعَةِ إِلَّا مِنْ أَدْرَكَ، فَإِذَا اقْتَدَى بَعْضُهُمْ بِبَعْضٍ حَصَلَ ثَوَابُ الْجَمَاعَةِ كَامِلًا.
Kesimpulan ibarat ini ialah terdapat khilaf dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah tentang masalah beberapa orang masbuq yang melantik salah seorang daripada mereka untuk menjadi imam bagi menyempurnakan baki solat. Menurut petikan ini, pendapat yang dinilai lebih sahih dalam Sharh al-Muhadhdhab ialah harus, sedangkan solat Jumaat dikecualikan kerana larangan mendirikan solat Jumaat yang lain selepas solat Jumaat yang telah terlaksana.
Di dalam kitab Wablul Ghamam, Sayyid Muhammad bin Abdurrahman al-Ahdal menukilkan masalah ini 80% sama seperti kitab asal iaitu al-Qaul al-Tam fi Ahkamil Makmum wal Imam:
َلَّمَ الإِمَامُ فَاقْتَدَى الْمَسْبُوقُونَ بَعْضُهُمْ بِبَعْضٍ صَحَّ كَمَا صَحَّ فِي شَرْحِ الْمُهَذَّبِ، قَالَ: وَلَا تَغْتَرَّ بِمَا فِي الِانْتِصَارِ لِابْنِ أَبِي عَصْرُونَ مِنْ تَصْحِيحِ الْمَنْعِ، قَالَ: فَلَوْ كَانَ هَذَا فِي الْجُمُعَةِ لَمْ يَجُزْ لِلْمَأْمُومِينَ الِاقْتِدَاءُ فِيمَا بَقِيَ وَجْهًا وَاحِدًا؛ لِأَنَّهُ لَا يَجُوزُ جُمُعَةٌ بَعْدَ جُمُعَةٍ بِخِلَافِ غَيْرِهَا، وَصَحَّ فِي الرَّوْضَةِ الْمَنْعُ فِي غَيْرِ الْجُمُعَةِ أَيْضًا؛ لِأَنَّ الْجَمَاعَةَ قَدْ حَصَلَتْ.
قَالَ الْأَصْلُ وَالْمُعْتَمَدُ الْأَوَّلُ، وَالْجَمَاعَةُ إِذَا حَصَلَتْ لَمْ يَنْتَفِ الْجَوَازُ؛ لِأَنَّ فِي الِاقْتِدَاءِ فَوَائِدَ كَتَحَمُّلِ السَّهْوِ، وَالسُّورَةِ فِي الْجَهْرِيَّةِ انْتَهَى.
وَجَزَمَ بِذَلِكَ فِي التُّحْفَةِ فَقَالَ: لَوْ قَامَ مَسْبُوقُونَ فَاقْتَدَى بَعْضُهُمْ بِبَعْض فِي غَيْرِ الْجُمُعَةِ عَلَى الْمُعْتَمَدِ مَعَ الْكَرَاهَةِ، قَالَ الشَّيْخُ مُحَمَّدُ أَبُو طَاهِرٍ الْكُورَانِيُّ الْمَدَنِيُّ فِي بَعْضِ فَتَاوِيهِ: وَلَمْ أَرَ عِلَّةَ عَدَمِ الصِّحَّةِ فِي الْجُمُعَةِ، وَيَغْلِبُ عَلَى الظَّنِّ أَنَّ ذَلِكَ لِكَوْنِهِ يُشْبِهُ جُمُعَةً بَعْدَ أُخْرَى، وَقَالَ الشَّيْخُ مُحَمَّدُ سَعِيدٍ بَاعَشَنَ: إِذَا قَامَ الْمَسْبُوقُونَ فِي الْجُمُعَةِ لَمْ يَصِحَّ اقْتِدَاءُ أَحَدٍ مِنْهُمْ بِالْآخَرِ عِنْدَ ابْنِ حَجَرٍ وَالرَّمْلِيِّ وَغَيْرِهِمَا، وَعَلَّلُوا ذَلِكَ بِأَنَّهُ كَإِنْشَاءِ جُمُعَةٍ بَعْدَ جُمُعَةٍ وَهُوَ مُمْتَنِعٌ، انْتَهَى كَلَامُهُ. وَقَدْ أَوْضَحْتُ الْمَسْأَلَةَ فِي مُخْتَصَرِ فَتَاوَى شَيْخنا
Huraian ibarat secara ringkas, menurut pendapat muktamad mazhab Syafi‘i, apabila imam telah selesai memberi salam, para makmum masbuq boleh mengikut salah seorang daripada mereka sebagai imam untuk menyempurnakan baki rakaat dalam solat selain solat Jumaat. Solat mereka sah, tetapi perbuatan tersebut makruh, meskipun solat berjemaah telah pun dilaksanakan bersama imam yang pertama.
Adapun dalam solat Jumaat, tidak sah makmum masbuq mengikut sesama mereka sebagai imam untuk menyempurnakan baki rakaat, menurut pendapat Ibn Hajar al-Haytami, al-Ramli dan ulama yang sependapat dengan mereka. Hal ini kerana perbuatan tersebut menyerupai pendirian solat Jumaat yang baharu selepas solat Jumaat yang pertama, sedangkan perkara tersebut tidak dibenarkan.
Kesimpulannya, hukum berimam sesama makmum masbuq selepas imam pertama selesai solat adalah sah tetapi makruh dalam solat selain Jumaat, manakala dalam solat Jumaat, perbuatan tersebut tidak sah menurut pendapat yang dinyatakan.
Kemudian kita kembali semula kepada kitab Fathul A'lam, dimana beliau menukilkan pendapat Imam Bujairimi dalam kitabnya Hasyiah a'la Khotib :
يصح اقتداء بعض المأمومين ببعض بعد سلام الإمام، لكنه لا ثواب فيه؛ لأن فيه نية القدوة في أثناء الصلاة، يقتضي أنه لو جاء شخص آخر، وابتدأ صلاته مقتدياً بالمسبوق بعد سلام إمامه حاز ثواب الجماعة. وقد صرح بذلك العلامة أبو خضير في نهاية الأمل وحاشيته.
“Adalah sah sebahagian makmum mengikut sebahagian yang lain sebagai imam selepas imam asal memberi salam. Akan tetapi, perbuatan tersebut tidak memperoleh pahala berjemaah, kerana niat untuk mengikuti imam itu berlaku ketika solat sedang berlangsung. Hal ini membawa kepada suatu implikasi, iaitu sekiranya datang seorang lain lalu memulakan solatnya dengan mengikut makmum masbuq selepas imam asalnya memberi salam, maka orang yang baharu datang itu memperoleh pahala berjemaah.Perkara tersebut telah dinyatakan secara jelas oleh al-‘Allamah Abu Khudair dalam kitab Nihayah al-Amal dan hasyiahnya.”
Secara ringkasnya ulama syafi'iyah berbeza pandangan dalam hal ini seperti berikut :
Pandangan 1 : Sah tetapi makruh (Pendapat muktamad Imam Ramli & Imam Ibn Hajar al-Haytami)
Pandangan 2 : Harus dan Sah (Pandangan dipilih Imam Nawawi berdasarkan sepakat Ashab Syafie dalam kitab Majmuk Sharh al-Muhadhdhab)
Pandangan 3 : Tidak sah solatnya (Disebut oleh Imam Nawawi dalam Majmuk Sharh al-Muhadhdhab bahawa pendapat tidak sah ini adalah pandangan imam Syafie dalam kitab beliau al-Imla', cuma Imam Nawawi tarjih pendapat tidak sah ini dalam kitabnya al-Raudhah al-Talibin)
Kesimpulan daripada beberapa Qaul Pendapat ini, hukum makmum masbuq melantik makmum masbuq yang lain pada solat yang selain solat jumaat sebagai imam adalah SAH menurut pendapat yang muktamad akan tetapi hukumnya adalah makruh yakni tidak memperoleh pahala berjemaah seperti dinyatakan oleh Imam Bujairimi. Memadailah pahala berjemaah makmum masbuq tadi dengan imam yang awal.. Manakala jika perbuatan ini dilakukan oleh makmum masbuq pada solat jumaat maka tidak sah solatnya.
Wallahualam bissawab.
Ustaz Fariduan Abdullah
Ulasan
Catat Ulasan