MEMBASUH TANGAN HINGGA SIKU, ADAKAH DARI JARI ATAU SIKU?
SOALAN
Assalamualaikum ustaz, adakah sah berwuduk bermula daripada siku kemudian ke tangan. Sebab belajar dulu dari tangan hingga ke siku? Syukran.
JAWAPAN
Jawapan kami, membasuh tangan hingga ke siku adalah salah satu rukun wuduk yang wajib sepertimana firman Allah SWT;
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُواْ وُجُوهَكُمۡ وَأَيۡدِيَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِق
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil) maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku…” (Surah Al-Maidah ayat 6)
Oleh itu, dapat kita fahami bahawa membasuh tangan hingga ke siku itu wajib dibasuh Ketika berwuduk sama ada dimulakan daripada tangan atau siku dahulu.
Menurut Imam Saimiri dan Imam Mawardi, jika seseorang menjirus air wuduknya sendiri, maka sunat dimulakan dari hujung jari hingga ke siku.
Adapun jika air wuduk di jirus oleh orang lain, maka di sunatkan untuk dimulakan dari siku hingga ke hujung jari. Manakala, Imam Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk dan al-Tahqiq mengatakan sunat dimulakan dari hujung jari hingga ke siku. Pendapat ini juga disebutkan oleh Imam Ibn Hajar di dalam kitab Fathul Ali.
فالأفضل أن يبتدئ في غسل اليدين و الرجلين بالأصابع عند (حج)
“Maka yang paling afdal adalah dengan memulukan membasuh kedua tangan dan kaki dengan hujung jari (Pendapat Imam Ibn Hajar).”
KESIMPULAN
Membasuh kedua tangan adalah wajib, dan afdhalnya ialah memulakan basuhan dari hujung jari hingga siku. Ini seperti yang telah disebutkan oleh beberapa Ulama Syafieyyah
Wallahualam.
Alfadhil Ustaz Faridzuan bin Abdullah As-Sarawaki (Timbalan Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak)
Ulasan
Catat Ulasan