HUKUM MEMAKAI NIQAB / PURDAH BAGI WANITA
SOALAN
Salam Ustaz, sy ada satu pertanyaan berkenaan apakah hukum bagi wanita yang memakai Purdah atau niqab di dalam Islam?
JAWAPAN
Waalaikumsalam.
PERBEZAAN ULAMA' BERKENAAN NIQAB
Ulama 4 mazhab berbeza pandangan tentang hukum memakai purdah atau niqab ini. Malah di dalam mazhab Syafie sendiri ada berlaku 3 perbezaan pandangan.
Dalil utama dalam bab aurat ini di dalam al-Quran Surah an-Nur ayat 31:
وَلَا یُبۡدِینَ زِینَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ
[Surah An-Nur 31]
Maksudnya: “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, kecuali apa yang zahir daripadanya”
Jumhur Ulama Fuqaha berpandangan bahawa setiap anggota tubuh badan perempuan adalah aurat kecuali wajah dan tapak tangan. Oleh kerana perempuan perlu kepada mualamat dengan lelaki seperti memberi dan mengambil (barang). Malah ada pandangan mazhab Abu Hanifah membenarkan untuk perempuan menzahirkan dua tapak kakinya.
Di dalam mazhab Syafie memakai purdah terbahagi kepada 3 pendapat :
1. Pendapat Muktamad - Wajib
2. Pendapat kedua - Sunat
3. Pendapat ketiga - Khilaful Awla
Dalam perihal perbezaan pandangan di atas, maka kita kena kembali kepada realiti semasa dan adat setempat.
SEBAB WAJAH TIDAK WAJIB DITUTUP
Saya merujuk buku ‘Fiqh Wanita’ tulisan Ustaz Fawwaz beliau menukilkan pandangan tokoh pemikir islam Abdul Halim Abu Syaqqah memberi alasan kenapa wajah tidak wajib di tutup.
1. Tidak ada nas yang jelas dalam Al-Quran dan Sunnah.
2. Tidak di amalkan secara meluas.
3. Mendedahkan muka adalah sunnah kehidupan manusia.
4. Keperluan kehidupan menuntut kepada mendedahkan muka.
5. Menutup muka membawa kepada kesukaran dan mendedahkan wajah membawa kepada kemudahan
(Point di atas ada syarahan nya boleh baca buku Fiqh Wanita karangan Ustaz Fawwaz)
Imam Ibn Hajar juga menukilkan dari Qadi Iyyad bahawasanya perempuan tidak wajib untuk menutup wajahnya mengikut pandangan ijmak. Adapun memakai purdah itu adalah SUNNAH dan di wajibkan atas para lelaki untuk menundukkan pandangannya terhadap wanita mengikut saranan ayat Al-Quran.
KENAPA DIWAJIBKAN MENUTUP WAJAH
Ulama juga mewajibkan menutup wajah apabila khuatir ada berlakunya fitnah (terlalu cantik) atau mendatangkan syahwat kepada lelaki apabila melihatnya.
Dalam kitab Tuhfatul Muhtaj Imam Ibn Hajar membahas ibarat Imam Nawawi kewajipan tutup muka :
و بأن النظر مظنة للفتنة و محرك للشهوة فاللائق بمحاسن الشريعة سد الباب و الإعراض عن تفاصيل الأحوال كالخلوة بالأجنبية
“Dan pandangan yg mungkin wujudnya fitnah atau membangkitkan syahwat (lelaki) maka (hukum wajib) menutup wajah ini sesuai dengan kebaikan hukum syariah yang menutup pintu (fitnah) dan menolak bagi beberapa keadaan seperti berkhalwat dengan orang asing.”
KESIMPULAN
Akhir sekali, hukum mengenai niqab ini kita perlu kembali kepada fatwa negeri masing-masing. Ulama' khilaf akan hukum memakai niqab bagi wanita ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi, ada yang mengatakan wajib, ada juga yang mengatakan sunat, dan ini merupakan pandangan kebangakkan Ulama'
Melihat kepada dalil dan pandangan para ulama, maka kami mengatakan memakai purdah itu satu perkara yg Sunat. Adakala hukum boleh berubah menjadi wajib apabila khuatir berlakunya fitnah contohnya terlalu cantik sehingga boleh membangkitkan syahwat lelaki ketika memandangnya.
Wallahualam
Rujukan :
Fatwa Nisa’
Tuhfatul Muhtaj
Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyah
Alfadhil Ustaz Faridzuan bin Abdullah As-Sarawaki
Timbalan Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak
Ulasan
Catat Ulasan