SIFAT BAQA'- TAUHID 20

 




SIFAT BAQA'

Ertinya : Kekal/Tiada Pengakhiran


Sifat Baqa' termasuk di dalam perbahasan sifat Salbiyah. Sifat Baqa' berada pada susunan ketiga mengikut Tartib Al Zikri dan Tartib Ta'aqquli. Sifat Baqa' dibicarakan setelah Sifat Qidam. Untuk memudahkan memahami sifat Baqa' ini, boleh lah membaca dahulu berkenaan Sifat Qidam yang telah kami tulis sebelum ini. Sifat Qidam


PENGERTIAN SIFAT BAQA'

Takrif Sifat Baqa' ialah :

عبارة عن عدم الآخِرِيَّةِ للوجود

Suatu Ibarat (kefahaman) yang menunjukkan tidak ada pengakhiran (atau kesudahan) bagi kewujudan Allah Ta'ala

Dalam pengertian lain

البقاء بعد فناء الشيء

Yang kekal selepas yang lain binasa

Di dalam Hasyiah Al Syeikh Ibrahim Al Bajuri Ala Matn Al Sanusi juga menyatakan perkara yang hampir sama dengan kata beliau 

قوله البقاء) : هو في حقه تعالى عدم الآخرية)

Telah berkata (pengarang Matan Sanusi) Al Baqa' : Iaitu pada hak Allah Ta'ala itu tiada pengakhiran bagi kewujudanNya

Di dalam Kitab Al Bahjah Al Saniyyah Syarh Al Kharidah Al Bahiyyah karangan Al Syeikh Muhammad Al Mashath pula mengatakan

و)ثاني الصفات السلبية : (البقاء) وهو سلب الآخرية، اي : أنه  تعالى لا آخر لوجوده، لأن ما ثبت قدمه استحل عدمه

(Dan) Sifat Salbiyah yang kedua : (Al Baqa') itu menolak/tiada pengakhiran. Iaitu : Sesungguhnya Allah Ta'ala tiada akhir bagi wujudNya, kerana setiap yang tiada permulaan maka mustahil ada pengakhiran

PEMBAHAGIAN KEKAL

Di dalam Kitab Sifat 20 karangan Al Fadhil Ustaz Muhadir Hj Joll ada menyebutkan bahawa kekal itu terbahagi kepada dua

1) KEKAL HAQIQI

Kekal ini hanyalah untuk Allah Ta'ala sahaja

2) KEKAL 'ARIDHI

Kekal ini adalah dengan kehendak Allah Ta'ala untuk mengekalkan makhlukNya seperti : Syurga, Neraka, Lauh, Mahfuzh, Arasy, Qalam, Kursi, Roh, 'Ajbu Al Zanb (Tulang kecil seperti biji sawi di punggung manusia), Jasad para Anbiya' dan Syuhada'

Perkara ini juga boleh dilihat pada akhir perbahasan Sifat Al Baqa' di dalam Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainul Abidin atau lebih dikenali dengan Tuan Minal

DALIL NAQLI

Firman Allah SWT ;

(هُوَ ٱلۡأَوَّلُ وَٱلۡـَٔاخِرُ )

[Surah Al-Hadid 3]

Maksudnya : Dialah Yang Awal dan Yang Akhir

Firman Allah SWT ;

(وَیَبۡقَىٰ وَجۡهُ رَبِّكَ ذُو ٱلۡجَلَـٰلِ وَٱلۡإِكۡرَامِ)

[Surah Ar-Rahman 27]

Maksudnya : Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan

DALIL AQLI

Jika Allah binasa, maka ini akan menafikan sifat Qidam yang mana ia telah Thabit bagi Allah SWT

Jika Allah Ta'ala binasa, maka sifat Qidam yang wajib itu akan bertukar menjadi harus bagi Allah Ta'ala, maka ini tidak benar kerana sifat Qidam adalah wajib bagi Allah

Hanya baharu yang mempunyai binasa, adapun Allah Ta'ala bukan baharu yang menerima binasa seperti makhluk. Ini kerana hanya Makhluk yang menerima binasa

BAGAIMANA CARA MENYAKINI SIFAT BAQA'?

Disebutkan di dalam Kitab Al Jawahir Al Kalamiyah karangan Syeikh Thahir bin Muhammad Al Jazairiy

هو أن نعتقد أن الله باق، وأن بقآءه ليس نهاية وأنه لا يزول أصلا ولا يلحقه العدم في وقت من الأوقات

Menyakini bahawa Allah Ta'ala itu Maha Kekal dan tiada penghujung bagiNya. Allah Ta'ala tidak akan lenyap dan kewujudanNya tidak terikat dengan waktu

KESIMPULAN

Makhluk akan binasa kerana kewujudannya mempunyai permulaan. Adapun Allah Ta'ala tidak akan binasa kerana Allah Ta'ala tidak didahuli dengan permulaan.

Makluk selama-lamanya tidak boleh dikatakan sebagai Tuhan kerana ada permulaan dan ada pengakhiran

Wallahualam


Abu Humaid Muhammad Albakri

Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB