SIFAT WUJUD ALLAH TAUHID 20
SIFAT WUJUD
Ertinya : ADA
Sifat wujud termasuk di dalam pembahagian sifat Nafsiyyah. Nafsiyyah bermakna sifat yang dinisbahkan atau disandarkan atau dibangsakan kepada diri Zat itu sendiri dan tidak menunjuk yang lain. Ini bermakna apabila bercakap berkenaan sifat Nafsiyyah, ia terus merujuk kepada diri atau zat itu sendiri sebagai contoh apabila disebut Faridzuan berada di dalam rumah itu, akal akan terus membayangkan tubuh badan Faridzuan, bukan membayangkan kecerdikan, ketampanan atau kemahirannya. Begitu juga apabila disebut Nafsiyyah iaitu sifat Wujud, ia terus merujuk kepada Zat Allah itu sendiri
Sifat Nafsiyyah juga dinamakan dengan Sifat Zatiyyah (ذاتية) dan Sifat Thubutiyyah (ثبوتية)
Para Ulama mentakrifkan sifat Nafsiyyah sebagai,
هِيَ الحَالُ الوَاجِبَةُ للذَّاتُ غَيْرُ مُعَلَّلَةٍ بِعِلَّةٍ
Iaitu hal yang thabit bagi zat selama ada zat itu pada hal tiada dikeranakan dengan suatu kerana
Sifat wujud diletakkan pada tertib yang pertama adalah kerana ia merupakan asas ketuhanan (أساس الإلهيات), tidak mungkin ada sifat yang lain tanpa adanya wujud. Namun pun begitu, susunan ini bukanlah susunan haqiqi (ترتيب وقوعي) kerana semua sifat Allah adalah qadim, tetapi yg digunakan adalah susunan sebutan (ترتيب ذكري) untuk memudahkan menghafalnya dan susunan logik (ترتيب تَعَقُّلي) untuk menunjukkan kaitan antara satu sifat dengan sifat yang lain
PENGERTIAN WUJUD
هِيَ الْحَالُ الْوَاجِبَةُ مَادَامَتِ الذَّاتُ غَيْرُ مُعَلَّلَةٍ بِعِلَّةٍ
Ia adalah hal (keadaan) yang wajib bagi zat Selama mana ada zat itu tidak disebabkan oleh suatu sebab
Ia bermaksud keadaan wujud itu datang daripada Zat Allah Taala itu sendiri, bukan dari sifat yang lain seperti sifat Ma'ani
Dalam takrif yang lain :
مَا لاَ تُتَعَقَّلُ الذَّاتُ بِدُوْنِهِ
Apa yang tidak boleh diterima oleh akal adanya zat tanpa adanya sifat wujud itu
Ia bermaksud, zat hanya akan dikatakan zat jika ada sifat Wujud pada zat tersebut, tanpa sifat Wujud, zat tidak boleh dikatakan zat
Wujud Allah Taala iailah Wujud zati (ذاتي), iaitu Allah tidak dijadikan oleh yang lain
PEMBAHAGIAN WUJUD
Wujud ada tiga bahagian;
Wujud Haqiqi (حقيقي) : Iaitu Zat Allah SWT, Tiada permulaan dan tiada kesudahan
Wujud Majazi (مجازي) : Iaitu segala makhluk, adanya permulaan dan adanya pengakhiran. Dinamakan wujud majazi kerana kewujudannya bersandar dengan qudrah dan Iradah Allah
Wujud 'Aridhi (عرِضِي) : iaitu Syurga, Neraka, Arasy, Kursi dan lain-lain, ada permulaan tiada pengakhiran dengan izin Allah
DALIL NAQLI
(ٱللَّهُ ٱلَّذِی خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَیۡنَهُمَا فِی سِتَّةِ أَیَّامࣲ)
[Surah As Sajdah 4]
Allah Taala Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala apa yang ada di antara kedua-duanya dalam enam masa
Rasulullah SAW bersabda;
إِنَّ اللهَ صَانِعُ كُلِّ صَانِعٍ وَصَنْعَتِهِ
Sesungguhnya Allah adalah Pencipta setiap pencipta dan ciptaanNya
DALIL AQLI
Kewujudan Allah dapat dibuktikan dengan adanya bumi, manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain lagi.
Semua makhluk adalah hadits iaitu baharu, dan setiap yang hadits adalah mustahil terjadi dengan sendirinya
Di dal syarah al Kharidah menyatakan bahawa,
وَدَلِيْلُ الْحُدُوثِ هُوَ التَّغَيُّرُ
Dan tanda sesuatu itu baharu adalah ia berubah
PERKATAAN MAUJUD ADAKAH TIDAK BOLEH DIGUNAKAN
Perkataan Maujud sememangnya berasal dari wazan Maf'ul (مفعول) yg membawa erti yang dijadikan, adapaun begitu tidak mengapa mengatakan begitu kerana yang dimaksudkan pada perkataan itu ialah Isim Fa'el yang bermaksud mujid (مُوجِد) dengan maksud yang membuat atau yang menjadikan, bukan Allah dijadikan
Khulasohnya, kewujudan Allah dapat dibuktikan dengan wujudnya makhluk. Semua makhluk bersifat dengan baharu dan setiap yang baharu pasti ada penciptanya
اللهُ مَوْجُودٌ بِلاَ مَكَان
Allah Wujud tanpa bertempat
Wallahu'alam
Abu Humaid Muhammad Albakri
Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlFarihin Alor Pongsu
Baca juga Sifat-Sifat lain
Sifat Qidam
Ulasan
Catat Ulasan