SOLAT JUMAAT 12 ORANG
SOLAT JUMAAT 12 ORANG
FIRMAN Allah SWT ;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu‘ah : 9)
MUQADDIMAH
Semenjak negara kita yang tercinta Malaysia dilanda waba' Covid-19, banyak perkara yang menjadi kebiasaan telah berubah sehinggakan menimbulkan banyak persoalan kepada masyarakat. Perubahan ini juga tidak terlepas daripada berlakunya pada ibadah kita khususnya Solat Fardhu Jumaat.
Bilangan Solat Fardhu jumaat mengikut mazhab Imam Syafie Qaul Jadid paling minimum adalah 40 orang yang telah cukup syarat-syaratnya. Ini juga adalah merupakan pendapat ‘Ubaidullah bin Abdullah bn ‘Utbah, dan salah satu riwayat Umar bin Abdul Aziz
Namun, setelah berlakunya penyakit Covid-19 ini, bilangan solat jumaat yang ditetapkan di masjid-masjid adalah kurang daripada itu, antaranya 12 orang pada kebanyakkan negeri, atau 15 orang seperti negeri Pulau Pinang
Maka timbul persoalan dikalangan awam, adakah solat ini sah? Adakah ia mengikut mazhab yang lain? Dan lain-lain persoalan yang timbul. Maka di sini kami akan menjawab secara ringkas dan semoga ada manfaat bersama
Pada perbahasan kali ini, kami memetik Risalah Nadirah yang dikarang oleh Syeikhuna Al Sayyid Abi Bakr Ibn Al Sayyid Muhammad Syatha yang bertajuk Risalah Tata'allaqu bijawazi Al Amal Bil Qaul Al Qadim Lil Imam As Syafie r.a Fi Sihhah Al Jumaat biarba'ah (boleh lihat gambar di bawah)
Risalah ini membahaskan perkara yang berkaitan dengan diharuskan beramal dengan qaul qadim Imam Syafie pada sahnya solat jumaat seramai 4 orang
BILANGAN SOLAT FARDHU JUMAAT
Para Ulama' berbeza pandangan akan bilangan Solat Fardhu Jumaat ini. Mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan 40 orang yang cukup syarat-syaratnya.
Menurut Abu Hanifah dan Muhammad al-Syaibani, bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah empat orang termasuk Imam. Akan tetapi, Abu Yusuf menyatakan bahawa bilangan jemaah solat Jumaat ialah tiga orang termasuk Imam
Manakala ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa bilangan minima jemaah solat Jumaat ialah 12 orang lelaki yang bermastautin dan kekal bersama Imam dari awal khutbah sehinggalah selesai menunaikan solat Jumaat
Ijma' para Ulama' bahawa solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan seorang diri, namun wajib secara berjemaah seperti kata Imam As Suyuti
Telah berkata Al Hafiz Al Suyuti : Telah bersilih pandangan pada Ulama' pada bilangan untuk sahnya Jumaat itu kepada 14 pandangan setelah mereka semua bersepakat bahawa tidak boleh Solat Jumaat dengan seorang diri
KENAPAKAH ULAMA' BERSELISIH PANDANGAN PADA BILANGAN SOLAT JUMAAT?
Dan ketahuilah bahawa Iman As Suyuti dan para Ulama'yang lain mereka berkata : Tidak ada penthabitan (penetapan) pada Solat Jumaat satu pun dari Hadith yang menetapkan bilangan (Solat Fardhu Jumaat) yang tertentu
Maka perkara ini terbuka kepada perkara Ijthihadi yang membolehkan Ulama' berijtihad dengan pandangan mereka berdasarkan nas-nas lain yang mempunyai kaitan dengannya
SOLAT 12 ORANG MAZHAB SYAFIE ATAU MAZHAB LAIN?
Solat Jumaat dengan jumlah 12 orang adalah dari mazhab Imam Syafie pada Qaul Qadim. Qaul Qadim Imam Syafie memilih jumlah solat Jumaat itu sebanyak 3 orang termasuk imam seperti yang disebutkan oleh Imam Muzani (boleh lihat gambar di bawah)
Qaul Qadim Imam Syafie juga memilih jumlah Jumaat sebanyak 4 orang dan 12 orang seperti apa yang telah disebutkan oleh Syeikhuna Al Sayyid Abi Bakr Ibn Al Sayyid Muhammad Syatha di dalam Risalah Al Mazkurah (lihat gambar di bawah)
BOLEHKAH BERTAQLID DENGAN QAUL QADIM IMAM SYAFIE?
Sememangnya para Ulama' Syafieyyah ada menetapkan bahawa apabila adanya Qaul jadid dan Qadim maka beramallah dengan qaul Jadid, namun Ulama' Mazhab Syafie ada mentarjihkan beberapa masalah yang dibolehkan kita bertaqlid dengan Qaul Qadim.
Maka selagi mana ada Ulama' yang mentarjihkan nas bagi Qaul Qadim maka boleh kita bertaqlid dengannya, yang tidak dibolehkan adalah apabila tidak ada Ulama' yang mentarjihkannya (boleh lihat gambar di bawah)
Adapun bilangan Jumaat 3 atau 4 atau 12 adalah boleh diamalkan kerana terdapat tarjih daripada Ulama' berkenaannya. Ini seperti yang telah disebutkan oleh Imam Al Sayyid Sulaiman Ibn Yahya Al Ahdal ketika ditanya adakah boleh bertaqlid dengan Qaul Qadim pada sahnya solat Jumaat dengan 4 orang? Maka jawab beliau : Ya boleh! Beramal dengannya adalah jaiz, kemudian beliau memetik soalan dan jawapan yang juga pernah ditanyakan kepada Al Allamah Jamal Al Din Muhammad Ibn Taqiy Ad Din AlbHubaishi (boleh lihat gambar di bawah)
BOLEHKAH BERTAQLID DENGAN MAZHAB MALIKI?
Ada sebahagian asatizah di kawasan kami menyuruh jemaah yang hadir Solat Fardhu Jumaat dengan bilangan 12 orang untuk bertaqlid dengan Mazhab Maliki.
Maka kami katakan itu adalah perkara yang menyusahkan jemaah dan meletihkan mereka. Tidak perlu bertaqlid kepada Mazhab lain. Ini kerana para Ulama' : mereka mengatakan bahawa sekiranya bertaqlid kepada Mazhab lain, seseorang itu juga perlu meraikan (mengikut tatacara) mazhab tersebut ketika hendak berwuduk (mengikut mazhab lain) dan mandi wajib dan syarat-syarat yang lain sehingga akan menyusahkan orang yang tidak arif, bahkan bertaqlid dengan Qaul yang lemah dari Mazhab sendiri itu lebih Aula (baik) daripada bertaqlid dengan Mazhab lain (lihat gambar di bawah)
PULAU PINANG SOLAT 15 ORANG, ADAKAH IANYA PANDANGAN SYAFIE?
Ya! Itu merupakan pandangan Mazhab Syafie yang memilih seramai 12 orang, namun Jabatan Mufti menambah lagi 3 orang dengan mengambil jalan IHTIYATHAN (Berhati-hati), kerana bimbang ada jemaah yang tidak dapat hadir setelah dimaklumkan, maka ini adalah lebih Aula
KESIMPULAN
Kami mengharapkan penjelasan yang ringkas ini dapat memberi kefahaman kepada masyarakat untuk kita saling tidak menyalahkan Jabatan Mufti dan pihak yang berautoriti. Jangan dengan kejahilan kita, kita menyalahkan Ulama' yang bertungkus lumus untuk menjaga nyawa kita. Semoga bermanfaat
Wallahualam
Abu Humaid Muhammad Albakri
Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak
Ulasan
Catat Ulasan