HUKUM SOLAT SUNAT TAHIYYATUL MASJID KETIKA IQAMAH
SOALAN
Apakah hukum solat seseorang yang sedang melakukan Solat Tahiyatul Masjid dan Ketika itu muadzin sedang iqamah?
JAWAPAN
Hukumnya makruh sepertimana dinukilkan oleh pengarang kitab Wablul Ghomam Fi Ahkmah Makmum wal Imam :
من دخل و الاقامة تقام لم تستحب له التحية و غيرها من النوافل صرح بذلك المحالي و البغوي والشيخان و الأصحاب للحديث الصحيح اذا أقيمت الصلاة فلا صلاة إلا المكتوبة
“Barangsiapa yang memasuki masjid dan iqamah telah didirikan, maka tidak disunnahkan baginya solat tahiyatul masjid dan selain daripadanya daripada ibadah-ibadah sunat. Dinyatakan perkara itu oleh Imam Mahalli, Imam Baghawi, Syaikhain (imam Nawawi dan Imam Rofi’e), dan Ashab Syafie’ dengan hadith sahih “Apabila telah didirikan iqamah solat, maka tidak ada solat melainkan solat maktubah (solat fardu).”
Sayyid Muhammad Bin Abdurrahman Al-Ahdal juga menukilkan bahawa ulama usul seperti Al-Azrai’e dan yang lainnya menjelaskan pada makna pensyariatan iqamah itu bahawa makruh melakukan ibadah sunah apabila waktu solat sudah dekat, terutama sekali apabila muadzin itu melaungkan iqamah dengan cepat sehingga boleh menyebabkan makmum terlepas takbiratul ula.
Di dalam Taqrirat Sadidah menjelaskan bahawa makruh hukumnya menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dalam beberapa keadaan :
1. Makruh apabila dia memasuki masjid dan waktu untuk mendirikan solat fardu itu sudah dekat, disunatkan baginya untuk berjemaah pada solat fardu, dikhuatiri jikalau dia menyibukkan diri pada solat sunat tahiyah maka dia akan terlepas kelebihan takbiratul ihram Bersama imam.
2. Bagi khatib solat jumaat apabila sudah masuk waktu untuk berkhutbah (azan pertama solat jumaat) walaupun ada kemungkinan bagi khatib untuk menunaikan solat sunat tahiyatul masjid.
3. Makruh bagi mereka yang menunaikan ibadah tawaf Ketika itu walaupun berkemungkinan dia sempat untuk melakukannya.
Kesimpulannya, apabila seseorang Jemaah sudah memasuki masjid maka hendaklah dia peka dengan baki waktu untuk mendirikan solat sepertimana di dalam masjid sudah disediakan jam untuk melihat baki waktu untuk mendirikan solat. Maka apabila kita melihat baki waktu itu tinggal 2 minit atau 1 minit maka janganlah kita menunaikan solat sunat tahiyat kerana hukumnya adalah makruh sepertimana dikemukakan dalil-dalil kitab yang telah disebutkan. Ulama mengajarkan apabila kita tidak berkesempatan untuk menunaikan solat sunat tahiyatul masjid kerana waktu yang sempit atau muadzin sudah melaungkan iqamah maka bacalah ‘Baqiyatus Solihat’ sebanyak 4 kali iaitu lafaz zikir :
سبحان الله و الحمد لله و لا إله إلا الله و الله أكبر
Wallahualam.
Alfadhil Ustaz Faridzuan bin Abdullah As-Sarawaki (Timbalan Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak)
Ulasan
Catat Ulasan