HUKUM BASUH BAJU MENGGUNAKAN MESIN

 


SOALAN

Apakah hukum basuh baju menggunakan mesin basuh yang bercampur pakaian yang terkena najis?

JAWAPAN

Sepertimana kita mengetahui asas dalam bab najis apabila najis bercampur dengan air yang kurang daripada 2 kolah maka air dan pakaian di dalam itu akan menjadi najis. Seperti disebut dalam Syarah Ibn Qasim :

ماء نجس أي متنجس وهو قسمان أحدهما قليل (و هوالذي حلت فيه نجاسة) تغير أم لا وهو أي ماء (دون قلتين)

“Air mutanajis ini terbagi kepada 2 salah satu daripadanya adalah air yang sedikit dan ianya adalah air yang ditimpa atasnya najis, berubah atau pun tidak iaitu jika air itu kurang daripada 2 kolah.”

Sudah tentu mesin basuh di rumah kita jumlah airnya tidak melebihi 2 kolah, jadi bagaimanakah hukumnya?

Untuk lebih berhati-hati, najis yang zahir dan Nampak hendaklah dihilangkan dahulu menggunakan air mutlak yang mengalir sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Habib Hasan Bin Ahmad Al-Kaf menyebutkan di dalam Taqrirat Sadidah bahawa : 

“Masalah meletakkan pakaian dalam mesin basuh yang moden, jikalau menggunakan mesin basuh yang jenis berteknologi tinggi (automatic) maka tiada mudarat menurut sepakat para ulama. Oleh kerana mesin basuh ini telah menghilangkan najis (pada basuhan pertama) kemudian mengalirkan air suci ke atas pakaian. Manakala jikalau mesin basuh itu jenis yang biasa (bukan automatic) , maka selepas membasuh itu mestilah dibilas dengan air suci atas pakaian tersebut dan inilah dinamakan dengan peringkat penyucian atau pembersihan di mana air itu mestilah bersifat mendatang pada peringkat ini iaitu dengan meletakkan pakaian dahulu kemudian mencurahkan air keatasnya.”

Disebut dalam Syarah Yaqut An-Nafis bahawa pendapat muktamad, hendaklah air itu dicurahkan atas tempat atau barang yang ingin disucikan dan pendapat inilah pendapat yang paling kuat. Habib Muhammad Bin Ahmad Bin Umar Asy-Syatiri mengatakan :

والغسالات نوعان : نوع يسمونه أوتوماتيكي يرد إليها الماء, ثم ينصرف فيرد ماء جديد, ثم يتكررإيراد الماء عدة مرات, فهذا لا خلاف فيه في طهارة الملابس

“Mesin basuh ada 2 jenis : Jenis yang pertama dinama sebagai mesin basuh automatik dia mendatangkan air keatas pakaian kemudian membuangnya. Maka kemudian dia mendatangkan dengan air baharu kemudian mengulangi hasil air itu beberapa kali. Maka pada mesin basuh ini tidak ada khilaf padanya mengenai kebersihan pakaian tersebut.”

Tidak dinafikan bahawa air telah dicurahkan ke atas pakaian, namun selepas itu air akan bertakung. Meskipun air itu bertakung didalam mesin basuh tidak semestinya ia air mutanajjis. Ini disebabkan jika air tersebut apabila berpisah daripada pakaian dan masih tidak berubah sifatnya (tidak berubah dengan kesan najis) dan tidak bertambah beratnya (disebabkan najis) maka air itu dikira sebagai masih suci. 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, mereka yang memiliki mesin basuh ini berpegang kepada pendapat apabila bekas air terkena najis, mencukupi kesucian itu dengan mendatangkan air keatasnya dan tidak wajib untuk memenuhkan bekas dengan air. Basuhan kedua bagi air najis itu dinamakan ghassalah (pencuci) dan ianya menjadi suci kerana 3 syarat :

1. Tidak bertambah berat air (kerana najis)

2. Tidak berubah (sifat air)

3. Hendaklah Kawasan di dalam mesin basuh itu bersih pada basuhan yang pertama dan tidak bercampur dengan selain daripada air mutlak.

Jikalau terhimpun syarat-syarat ini maka boleh hukumnya menggunakan mesin basuh. Seperti yang dimaklumkan tadi, jika najis tersebut zahir dan Nampak disarankan untuk basuh di luar mesin dengan air mutlak yang mengalir supaya air takungan dalam mesin basuh tidak berubah. 

Wallahualam.


Alfadhil Ustaz Faridzuan bin Abdullah As-Sarawaki (Timbalan Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB