SEJARAH RINGKAS ILMU QIRAAT



ILMU TAJWID DAN QIRAAT SECARA RINGKAS 

Allah swt telah menurunkan al-Quran kepada manusia sebagai panduan hidup di akhir zaman hinggalah ke hari kiamat. Al-Quran ini di turunkan melalui perantaraan malaikat Jibril as kepada Rasulullah saw sebagai utusan Allah kepada umat manusia, dalam menyampaikan ajaran dan hukum-hukumnya. Rasulullah saw telah menyempurnakan tugasnya sebagai penyampai risalah Allah dengan mengajarkan al-Quran kepada para sahabat r.a dan mewariskan mereka dengan al-Quran itu di dalam dada dan amalan mereka. 

Para sahabat pula meneruskan tugas ini dengan mengajarkan al-Quran kepada para tabi’in selepas mereka, kemudian mewariskan kepada kita al-Quran dalam bentuk tulisan untuk menjaga al-Quran itu dari terus luput dari dada umat Islam. Walaupun al-Quran itu telah di susun dalam bentuk tulisan oleh Saidina Uthman r.a beliau tidak sekali mengabaikan sunnah penyampaian al-Quran yang mestilah di warisi terus dari mulut ke mulut. Dalam menjaga kesahihan bacaan al-Quran, Mushaf al-Quran yang di tulis dengan tangan pada permulaan Islam, telah dikirimkan bersama guru-guru untuk mengajarkan bacaannya ke negeri-negeri umat Islam pada waktu itu. Begitulah berkembangnya penyampaian al-Quran yang di warisi dari generasi ke generasi sehinggalah sampai kepada kita hari ini. 

Rasulullah semasa hayatnya amat menitikberatkan pembacaan al-Quran yang tepat dan betul. Ini kerana terdapat perintah daripada Allah swt di dalam al-Quran sendiri pada surah Muzammil ayat 4 : 

وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا

Maksudnya “Dan bacalah Al Quran itu dengan tartil ( bertajwid ) 


Rasulullah saw juga amat berhati-hati dalam menjaga kesahihan bacaannya walaupun baginda telah di jamin terlepas daripada melakukan kesilapan, baginda tetap menyemak bacaannya dengan Jibril a.s setahun sekali pada bulan Ramadhan. 

SEJARAH ILMU TAJWID DAN QIRAAT 

Jika di bahaskan bilakah bermulanya ilmu tajwid ? maka terdapat banyak kenyataan yang menunjukkan ilmu ini telah bermula sejak daripada al-Quran di turunkan dan di bacakan di hadapan Rasulullah saw lagi. Ini kerana Rasulullah saw di perintah untuk membaca al-Quran dengan bertajwid dan tartil seperti yang di nyatakan pada surah Al-Muzammil ayat 4 di atas. Lalu di ajarkan juga kepada sahabat-sahabat baginda dengan bacaan yang serupa yakni secara bertajwid. Saidina Ali r.a ketika di tanyakan kepada beliau apakah maksud bacaan al-Quran secara tartil itu ? maka beliau menjawab

" ِهُوَ تَجْوِيْدُ الحَرفِ وَمَعْرِفَةُ الوُقُوْف"

“ Ianya adalah mengelokkan sebutan setiap huruf dan berhenti pada tempat yang betul” 


Inilah bukti yang menunjukkan pembacaan al-Quran bukanlah suatu ilmu yang di ijtihadkan oleh para ulama yang di olah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan Sunnah, tetapi pembacaan al-Quran adalah suatu yang tauqifi yakni di ambil terus riwayat dari kaedahnya yang asal iaitu sebutan dan bacaan Rasulullah saw sendiri. Kemudian al-Quran terus berkembang sehinggalah ke suatu zaman yang mana lahirnya seorang tokoh yang amat penting dalam ilmu tajwid dan qiraat iaitu seorang imam ( ulama ) atau yang lebih di kenali sebagai Ibn Jazari dengan karangan beliau yang masyhur iaitu طيبة النشر dan الدرة المضية yang menyatakan ilmu Qiraat 10 sebagai pelengkap bagi apa yang telah di nyatakan oleh Imam As Syatibi di dalam kitabnya Hirzul Amani sebagai Qiraat 7. Imam al-Jazari juga telah mengarang karangan yang berasingan bagi ilmu tajwid dalam kitabnya At Tamhid dan puisi beliau yang lebih terkenal dengan nama Matan Al-Jazariah.

Al-Quran yang kita warisi daripada Rasulullah saw tidak di baca dengan satu cara sahaja, tetapi ia harus di baca dengan cara mengikut riwayat Qiraat yang di ambil daripada Rasulullah saw. Ini kerana Rasulullah saw membenarkan para sahabatnya membaca al-Quran mengikut lahjah ( loghat/dialek ) mereka sendiri, yang mana mereka semua adalah berbahasa arab sama seperti Bahasa al-Quran yang di turunkan itu. Maka di kalangan para sahabat itu wujudlah pembacaan-pembacaan al-Quran yang berbeza-beza tetapi kesemuanya di akui oleh Rasulullah saw. 

Hal ini diceritakan sendiri dalam hadis-hadis Rasulullah saw antaranya hadis riwayat Ibn Abbas, Rasulullah saw memberitahunya : 

أقراني جبريل على حرف فراجعته فلم أزل أستزيده ويزيدني  حتى انتهى إلى سبعة أحرف

Maksudnya : Jibril as membacakan kepada aku al-Quran dengan satu cara sahaja, maka aku berulang-ulang meminta supaya di tambah bacaan lain, dan Jibril pun menambahnya hinggalah lengkap 7 perbezaan bacaan” 

( Hadis ke 4607 sahih al-Bukhari ) 

Apa itu tajwid ? 

Tajwīd (تجويد) dari segi bahasa bermaksud melakukan sesuatu dengan elok iaitu yang berasal dari perkataan Jawwada. 

Pada istilah syarak, tajwid adalah ilmu yang boleh mengenalkan tempat bagi tiap-tiap huruf dengan memberi apa yang patut baginya dari segi sifat-sifat huruf itu seperti menyatakan dan menyembunyikan atau apa yang dimestikan bagi huruf-huruf itu dari sifat-sifat luar dari segi panjang, pendek, tebal, tipis dan sebagainya

Ilmu tajwid itu ialah menyampaikan dengan sedalamnya kesempurnaan tiap-tiap sebutan dari ayat al-Quran. Sesungguhnya, para ulama’ menyatakan bahawa hukum bagi mempelajari tajwid itu adalah fardhu kifayah tetapi mengamalkan tajwid ketika membaca al-Quran adalah fardhu ain atau wajib kepada lelaki dan perempuan yang mukallaf.

Sesungguhnya, apabila seseorang itu membaca al-Quran walaupun sedikit, hendaklah dia membacanya dengan bertajwid. Sekalipun semasa bacaan al-Quran itu dikira sebagai sunat (membaca al-Quran yang tidak wajib seperti dalam solat) al-Quran itu wajib dibaca dengan bertajwid sebagaimana ia diturunkan tanpa membuat perubahan. Dan sesiapa yang membacanya tanpa tajwid serta bacaannya boleh mengubah tafsiran al-Quran maka ia adalah berdosa. Golongan yang membaca al-Quran dengan tidak bertajwid dan berubah maknanya termasuklah dalam golongan yang dilaknati al-Quran itu sendiri, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. : 

رب قارئ القرءان والقرءان يلعنه

Maksudnya :  Ramai orang yang membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatnya


Al-Quran dan Sunnah merupakan pegangan dan panduan jalan yang lurus bagi umat Islam, maka sesungguhnya pembacaan ayat suci Al-Quran adalah sangat penting dalam kehidupan seharian bagi umat Islam manakala Sunnah Rasul adalah sebagai penerangan terhadap hukum-hukum Allah. Dengan itu, penjagaan dan pembacaan tajwid yang betul adalah sangat penting supaya maksud bacaan tidak terpesong daripada makna yang sebenar

Dalam hal ini, Rasulullah saw. juga pernah bersabda:

Bermaksud : Daripada 'Uthman bin 'Affan r.a. berkata : Rasulullah saw berkata : Rasulullah saw bersabda : 'Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya'. 

( Riwayat Iman al-Bukhari )


Wallahualam

Alfadhil Ustaz Muhammad Fariza Bin Husin

Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB