KELEBIHAN MALAM NISFU SYA'BAN-USTAZAH ASMA' HARUN




KEMULIAAN & KEUTAMAAN MALAM NISFU SYA'BAN SERTA AMALAN YANG DISARANKAN, BERSUMBER DALIL SAHIH & KAJIAN ILMIAH.

☘️ SILA SEBARKAN BUAT UMMAH ☘️

Bulan Sya'ban adalah salah satu bulan yang paling mulia, ia menjadi bulan yang sangat istimewa sebelum bulan Ramadan. 

Namun masih ramai antara kita yang masih terleka dalam merebut kesempatan ini, sehinggakan disebutkan di dalam hadis Nabi Muhammad SAW : 

شعبانُ بين رجبَ ورمضانَ يغفلُ الناسُ عنه تُرفعُ فيه أعمالُ العبادِ فأُحِبُّ أن لَا يَرْفَع عَمَلِي إَلَّا وأنَا صَائِم

Maksudnya: "Bulan Sya’ban, ada di antara bulan Rejab dan Ramadan, banyak manusia yang melalaikannya. Saat itu amal manusia diangkat, maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa".

[HR An-Nasaie, Hadis Hasan]

KEUTAMAAN MALAM NISFU SYA’BAN 

Malam Nisfu Sya'ban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam Nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. 

[HR Ahmad, No. Hadith 6353, Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih]

Bahkan perbuatan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban juga adalah merupakan amalan orang-orang soleh terdahulu. Subhanallah, ini yang disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali, di dalam kitab Lathaif al-Ma’arif menyatakan:

وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ التَّابِعُوْنَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ يُعَظِّمُوْنَهَا وَيَجْتَهِدُوْنَ فِيْهَا فِي الْعِبَادَةِ، وَكَانَ خَالِدُ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانُ بْنِ عَامِرٍ وَغَيْرُهُمَا مِنْ تَابِعِي الشَّامِ يَقُوْمُوْنَ فِي الْمَسْجِدِ لَيْلَةَ النِّصْفِ، وَوَافَقَهُمُ اْلإِمَامُ إِسْحَاقُ ابْنُ رَاَهَوْيه عَلىَ ذَلِكَ، وَقَالَ فِيْ قِيَامِهَا فِي الْمَسَاجِدِ جَمَاعَةً 

Maksudnya: “Malam Nisfu Sya’ban, kaum Tabi’in dari penduduk Syam mengagungkannya dan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah pada malam tersebut. Khalid bin Ma’dan, Luqman bin Amir dan lain-lain dari kalangan tabi’in Syam mendirikan solat di dalam Masjid pada malam Nisfu Sya’ban. Perbuatan mereka disetujui oleh al-Imam Ishaq Ibnu Rahawaih. Ibnu Rahawaih berkata mengenai shalat sunnah pada malam Nisfu Sya’ban di Masjid-masjid secara berjemaah.“

SubhanAllah, setelah kita membaca hadis dan kalam ulama tersebut, maka jelaslah bahawa begitu besar kelebihan malam Nisfu Sya'ban yang mungkin kita sering lupa untuk membuat persiapan bagi menemuinya. 

Di dalam hadis, Nabi Muhammad SAW tidak menetapkan mana-mana amalan sebagai amalan khusus untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban. Namun begitu, kita boleh mengambil peluang dengan kelebihan yang Allah SWT berikan pada malam tersebut untuk melakukan amal soleh sebanyaknya.

Terdapat beberapa amalan yang telah disusun oleh para ulama bagi menghidupkan malam Nisfu Sya'ban, seperti:

1. MENDIRIKAN SOLAT SUNAT MUTLAK 

Pada malam Nisfu Sya’ban, kita dibolehkan mendirikan solat sunat mutlak. Solat sunat mutlak ialah solat sunat semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT. Ia tidak ditentukan waktunya dan tidak ada had jumlah rakaatnya. 

Cara mengerjakan solat sunat mutlak ini adalah sama seperti solat biasa. Niatnya adalah seperti berikut:

أُصَلِّى صَلَاةَ السُّنَّةَ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana Allah Taala”

Solat ini juga disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah apabila diminta penjelasan tentang solat malam Nisfu Sya’ban. Lalu, beliau menyatakan:

إِذَا صَلَّى اْلإِنْسَانُ لَيْلَةَ النِّصْفِ وَحْدَهُ أَوْ فِيْ جَمَاعَةٍ خَاصَّةٍ كَمَا كَانَ يَفْعَلُ طَوَائِفُ مِنَ السَّلَفِ فَهُوَ حَسَنٌ. وَقَالَ فِيْ مَوْضِعٍ آخَرَ : وَأَمَّا لَيْلَةُ النِّصْفِ فَقَدْ رُوِيَ فِيْ فَضْلِهَا أَحَادِيْثُ وَآَثاَرٌ وَنُقِلَ عَنْ طَائِفَةٍ مِنَ السَّلَفِ أَنَّهُمْ كَانُوْا يُصَلُّوْنَ فِيْهَا فَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِيْهَا وَحْدَهُ قَدْ تَقَدَّمَهُ فِيْهِ سَلَفٌ وَلَهُ فِيْهِ حُجَّةٌ فَلَا يُنْكَرُ مِثْلُ هَذَا.

Maksudnya: “Apabila seseorang menunaikan solat pada malam Nisfu Sya’ban, sendirian atau bersama jamaah tertentu sebagaimana dikerjakan oleh banyak kelompok kaum salaf, maka hal itu baik.” Di tempat lain, Ibn Taimiyah juga berkata: “Adapun malam Nisfu Sya’ban, telah diriwayatkan banyak hadis dan athar tentang keutamaannya dan telah dikutip dari sekelompok kaum salaf bahwa mereka menunaikan solat pada malam itu. Jadi solat yang dilakukan oleh seseorang sendirinya pada malam tersebut, telah dilakukan sebelumnya oleh kaum salaf dan ia mempunya hujah, oleh karena itu hal seperti ini tidak boleh diingkari.

2. MEMPERBANYAKKAN DOA DAN MUNAJAT 

Imam al-Syafie di dalam kitab al-Umm ada menyatakan tentang keistimewaan berdoa pada malam Nisfu Sya'ban:

بَلَغَنَا أَنَّهُ كان يُقَالُ إنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ في خَمْسِ لَيَالٍ في لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ من رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ من شَعْبَانَ

Maksudnya: “Telah sampai kepada kami bahawasanya selalu dikatakan bahawa permohonan akan dikabulkan pada lima malam, iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidil Adha, malam hari raya Aidil Fitri, awal malam di bulan Rejab dan malam Nisfu Sya’ban.”

Pada malam istimewa ini, ajaklah ahli keluarga untuk bersama mengambil peluang sebaiknya bagi memohon segala hajat yang diinginkan untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. 

3. MENGHIDUPKAN MALAM DENGAN MEMPERBANYAKKAN MEMBACA AL-QURAN 

Orang yang membaca al-Quran walau satu huruf akan diberikan ganjaran sepuluh kali ganda pahala. Sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang الم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
(HR al-Tirmizi, bertaraf hasan)

Selain itu, Nabi Muhammad SAW bersabda:

اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ

Maksudnya : "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa'at kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).
(HR Muslim 804)

Apabila menjelangnya Nisfu Sya'ban juga, terdapat amalan yang sering dilakukan secara tradisi sejak sekian lama dalam masyarakat kita. Sebagai contoh, amalan membaca surah Yaasin sebanyak 3 kali yang diniatkan dengan niat tertentu. 

Menurut para ulama, tiada halangan untuk mengamalkannya selagi mana kita tidak menyandarkan amalan tersebut kepada hadis Nabi Muhammad SAW kerana tiada dalil khusus yang menyatakan tentangnya. Namun begitu, kita sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan membaca al-Quran pada setiap masa.

4. MEMPERBANYAKKAN SAYYIDUL ISTIGHFAR KEPADA ALLAH.

Sayyidul istighfar merupakan penghulu kepada istighfar. Di dalamnya terkandung kalimah tauhid yang membesarkan Allah dan pembuktian kehambaan kita sebagai seorang hamba yang lemah dan hina. Daripada Syaddad bin Aus r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.
[Riwayat al-Bukhari]

5. MEMPERBANYAKKAN SELAWAT 

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]

Dalam sebuah hadis yang lain diriwayatkan bahawa, para sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada Baginda.

Kemudian Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” (HR Bukhari dan Muslim)

6. MEMINTA DAN MEMBERI MAAF

Sepertimana Hadis Nabi SAW di atas, antara golongan yang tidak akan diampunkan Allah SWT adalah mereka yang bermusuhan.

Maka marilah sama-sama kita saling bermaafan, kerana sesungguhnya nilai keampunan Allah SWT jauh lebih tinggi daripada membesarkan ego dan emosi kita. 

Hayati FirmanNya dibawah, golongan yang akan dikurniakan Syurga :

 “Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran: ayat 133-134)
SubhanAllah, amalan yang baik sebegini perlu dikekalkan momentumnya walaupun selepas selesai Nisfu Sya'ban.

Sesungguhnya ini adalah kesempatan emas untuk kita menyucikan dan memperbaiki diri sebelum menyambut bulan Ramadan yang mulia. Semoga ia dapat menjadi penambah saham pahala dan ‘warm up’ untuk kita menjelang bulan yang dinanti.

Sebagai penutup, suka untuk saya berkongsi petikan nasihat Ibnu Rejab al-Hanbali untuk sama-sama kita bermuhasabah diri.

فَقُمْ لَيْلَةَ النِّصْفِ الشَّرِيفِ مُصَلِّيًا * * * فَأَشْرَفُ هَذَا الشَّهْرُ لَيْلَةُ نِصْفِهِ 
Maksudnya: “Maka bangunkan malam Nisfu Sya’ban dengan mendirikan solat * Semulia-mulia bulan Sya’ban ini terletak pada malam pertengahannya."

فَكَمْ مِنْ فَتَى قَدْ بَاتَ فِي النِّصْفِ آمِنًا * * * وَ قَدْ نُسِخَتْ فِيهِ صَحِيفَةُ حِتْفِهِ 
Maksudnya : "Berapa ramai pemuda yang tidur pada malam ini dengan aman * Sedangkan telah ditulis tentang keburukan baginya dalam catatan."

فَبَادِرْ بِفِعْلِ الْخَيْرِ قَبْلَ اِنْقِضَائِهِ * * *وَحَاذِرْ هُجُومَ الْمَوْتِ فِيهِ بِصَرْفِهِ
Maksudnya: "Maka, bersegeralah melakukan amal kebaikan sebelum sampai kematiannya * Dan berjaga-jagalah dengan kejutan kematian padanya dengan kekuasaan-Nya.”

Semoga bermanfaat buat ummah 🤲

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.  

ASMA' BINTI HARUN & TIM PENYELIDIK 

#UAHSahabatDuniaAkhirat
#SahabatAmalCare

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB