DOA BULAN RAJAB-STATUSNYA DAN KHILAF KALIMAH RAJAB
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا ونبينا وحبيبنا محمد صلى الله عليه وسلم وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Segala Puji Hanya Bagi Allah, InsyaAllah pada kali ini kami Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak akan berkongsi berkenaan Doa Rajab yang selalu diamalkan oleh masyarakat Malaysia.
Pada penulisan kali ini, kami kongsikan status Hadith Doa Rajab dan juga khilaf Ulama Nahu pada kalimat Rajab, semoga bermanfaat
STATUS HADITH DOA BULAN RAJAB
Di sini kami kongsikan tulisan daripada fb Al Fadhil Ustaz Mohd Khafidz Soroni, seorang tokoh Ulama Hadith di Malaysia, dengan tidak kami mengubah teks asal walaupun sedikit.
Doa Bulan Rejab:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya Allah berkatilah bagi kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”
Diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath dan al-Du’a, Ibnu al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum Wa al-Lailah, Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan Fadhail al-Auqat dan lain-lain.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad dengan lafaz:
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
“Ya Allah berkatilah bagi kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban dan berkatilah bagi kami dalam bulan Ramadhan.
Semua meriwayatkan melalui jalan Zaidah bin Abi al-Ruqad daripada Ziyad al-Numairi daripada Anas bin Malik.
Zaidah bin Abi al-Ruqad dan Ziyad al-Numairi dinilai daif oleh para ulama al-jarh wa al-ta’dil.
Hadis ini juga dinilai daif oleh Ibnu Rejab al-Hanbali dalam Lataif al-Ma’arif, al-Nawawi dalam al-Azkar dan lain-lain.
Tiada masalah jika nak berdoa dengan doa tersebut
Wallahu a’lam.
Oleh Ustaz Zainuddin
KHILAF ULAMA NAHU PADA BACAAN DOA RAJAB
Hal ini sering kita temui apabila datangnya Bulan Rajab yang mulia, iaitu perbezaan cara membaca baris ROJABA atau ROJABIN, maka pada penulisan kali ini InsyaAllah kami akan kongsikan beberapa hujah Ulama' Nahu mengenainya
Terdapat perdebatan diantara kalangan Ahli Nahu dan Ulama' Bahasa Arab mengenai pembacaan kalimah tersebut. Kita akan bahas satu persatu, supaya nanti tidak terjadi perdebatan hanya kerana kalimat yang dibaca berbeza tersebut. Menurut Al-Danûsyirî, sebagaimana dikutip oleh Muhammad bin 'Alî al-Shabbân dalam Hâsyiyah al-Shabbân, bahwa Lafaz "ROJAB" dalam bahasa Arab memiliki 2 (dua) bentuk, yaitu :
Pertama : Jika yang dimaksud "ROJAB" itu adalah bulan ROJAB tertentu, maka lafaz "Rojab" itu termasuk dalam kategori ISM GHAIRU MUNSORIF (isim yang tidak boleh menerima tanwin).
Kedua : Namun ketika yang dimaksud dengan lafaz "Rojab" itu adalah bulan Rojab secara umum, maka lafaz "Rojab" termasuk isim Munsorif (isim yang bisa menerima tanwin).
Maka jika dikatakan Rojaba itu Ism Ghair Munsorif, ia akan membawa maksud kita memohon doa supaya Allah berkati kita pada bulan Rajab Tahun tersebut dan perlu dibaca Fathah, ini seperti mana yang dijelaskan oleh ibnu Malik bahawa ism ghair Munsorif akan di baca fathah apabila ia dalam keadaan jar
وجر بالفتحة ما لا ينصرف
Sebaliknya, ketika kita tidak mengkhususkan keberkatan di bulan Rajab tahun ini saja, tapi bulan Rajab secara umum, maka kita membacanya "FII ROJABIN", dengan harakat kasratain (2 baris bawah) sebab kata "ROJABIN" di sini termasuk ke dalam Ism Munsorif (menerima perubahan).
Akan tetapi, pendapat Al-Danûsyiri tersebut disanggah oleh Al-Zarqânî. Al-Zarqânî berpendapat bahwa lafaz "Rojab" itu termasuk Ism Munsorif, meskipun yang dimaksud adalah bulan Rajab tertentu. Maka ketika diterapkan dalam doa di atas, bacaan yang tepat adalah "FII ROJABIN",
Kesimpulan akhir, membaca doa Nabi SAW tersebut, samada dibaca "FII ROJABA" atau "FII ROJABIN" kedua-duanya tepat dan benar. Tidak perlu memunculkan masalah baru dalam pembacaan doa tersebut.
Ketika kami belajar kitab Durus Nahwiyah bersama Alfadhil Ustaz Amir, beliau ada mengajarkan kami bahawi jika dibaca dengan baris Fathah, ia bermaksud Khusus (Rajab tahun ini), jika dibaca dengan Kasratain, ia bermaksud Umum (Rajab Tahun ini dan lain-lain)
Wallahualam
Abu Humaid Muhammad Albakri
Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak
Ulasan
Catat Ulasan