DARAH HAID KELUAR KETIKA MENGANDUNG
Soalan ;
Darah keluar ketika hamil adakah dikira haid ataupun Istihadah?
Jawapan ;
Hukum menentukan tentang darah tersebut haid ataupun tidak telah menjadi khilaf antara ulama-ulama silam dan ulama-ulama kontemporari.
Apabila seorang perempuan yang hamil keluar darah melalui farajnya ianya dikira sebagai darah haid mengikut pandangan yang muktamad dari mazhab syafie sama ada darah tersebut berwarna hitam, merah, kuning atau warna keruh pada waktu kebiasaan dia keluar darah haid ataupun tidak. Dikira atas sifat darah haid atau kebiasaan bau darah atau tidak.
Ulama seperti Imam Malik, Imam Laiths, dan Imam Syafie melalui qaul jadidnya menghukumkan bahawa darah perempuan hamil adalah darah haid. Oleh kerana darah tersebut darah yang meragukan dengan darah yang semulajadi keluar yakni seperti darah haid.
Pendapat yang kedua daripada Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad, Imam Auzai’e dan At-Thauri mengatakan perempuan yang hamil itu tidak dikira sebagai haid. Adapun darah yang keluar daripadanya itu adalah darah penyakit.
Mereka berdalilkan pada satu sabdaan Baginda Nabi :
لا توطأ حامل حتى تضع ، و لا حائل حتى تستبرأ بحيضة
“Tidak boleh setubuh wanita yg hamil sehingga dia melahirkan, dan wanita yg tidak hamil tidak boleh disetubuhi sampai mengalami haid sekali.”
Maka maksud dari hadith ini diketahui wujudnya haid itu dengan mengetahui bahawa atas kosongnya rahim daripada janin.
Ada juga hadith lain mengatakan daripada sayyidah Aisyah :
الحامل لا تخيض
“Perempuan yang hamil tidak haid.”
Mengikut perubatan moden, Allah SWT menciptakan kebiasaan bagi perempuan apabila bergantungnya sesuatu seperti janin di permukaan rahim maka tidak akan keluar sesuatupun daripada rahim tersebut. Maka darah tersebut bukanlah datang dari rahim tetapi dari tempat lain sehingga dikatakan sebagai darah penyakit.
Dr Kamil Musa berkata apa yang telah diungkapkan oleh para doktor bersepakat dengan mengatakan darah spotting perempuan hamil itu tidak dikira sebagai darah haid. Dari sudut ilmu biologi menamakan ianya dengan “Al-Haidh Al-Kazib” ataupun pendarahan awal semasa kehamilan menunjukkan tanda tidak baik buat kandungan dalam perut.
Bagi yang berpegang pada pendapat kedua yang mengatakan bukan haid maka ianya akan dikira sebagai istihadah. Hendaklah solat apabila darah sudah berhenti, serta disucikan faraj, dan menggunakan pad. Kemudian berwuduk selepas masuk waktu solat dan menunaikan solat dengan segera sepertimana hukum solat bagi perempuan yang istihadah.
Khulasohnya, pandangan yang kuat dan muktamad di sisi Ulama Syafi’iyah adalah _darah spotting_ yang keluar ketika hamil itu dikira sebagai haid. Faedah daripada khilaf ini adalah jikalau mengikut pandangan yang pertama maka dia jangan berpuasa dan jangan solat, jika bertaqlid pada pandangan kedua maka boleh dia berpuasa dan menunaikan solat.
Syeikh Ahmad Bin Soleh Bafadhol berkata dalam kitabnya,
“Boleh baginya bertaqlid ketika ada hajat khusus semasa datangnya darah dengan syarat tiada sifat-sifat kebiasaan dia didatangi haid yang diketahui oleh perempuan itu sendiri wallahualam.”
Memandangkan kita mengikut kepada mazhab As-Syafie maka seharusnya kita mendahulukan pandangan imam kita dan tidak ada masalah untuk bertaqlid pada pendapat yang sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad bin Soleh Bafadhol. Kerana pendapat kedua juga telah dipegang majoriti ulama lain dan juga pandangan Qaul Qadim Imam Syafie sendiri yang juga bertepatan dari sudut perubatan moden kita hari ini.
Wallahualam bisawwab.
Alfadhil Ustaz Faridzuan Abdullah As-Sarawaki
Lajnah Al Ta'lim wa Al Tarbiyah Pusat Pengajian AlQuran AlFarihin Alor Pongsu Perak
Ulasan
Catat Ulasan