HUKUM BERKENAAN KORBAN

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم وعلى اله وصحبه اجمعين وبعد

Kami Lajnah atTa'lim wa atTarbiyyah PAQAF Alor Pongsu Perak mengucapkan selamat melakukan ibadah korban kepada seluruh kaum muslimin & muslimat khususnya di Malaysia, di sini kami datangkan beberapa ilmu dan fawaid berkaitan korban untuk sama-sama kita murajaah dan mengingat kembali ilmu berkenaan qurban



Qurban

1.0 Pengertiannya

-Qurban ialah sembelihan binatang iaitu Unta, lembu, kambing dan biri-biri. Qurban ini bertujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah dan dilakukan pada Hari Raya Qurban.

1.1 Dalil  pensyariatannya

-Firman Allah,
فصل لربك وٱنحر¹

yang bermaksud, oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Maksud sembelih dalam ayat tersebut menurut pendapat yang paling sah ialah sembelihan Qurban

Dalil hadith pula ialah

أن النبي صلى الله عليه وسلم ضحى بكبشين أملحين أقرنين، ذبحهما بيده، وسمى وكبر، ووضع رجله على صفاحهما².

"Yang bermaksud, Nabi (ص) menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai qurban dengan tangannya sendiri, sambil menyebut nama Allah dan bertakbir serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.

2.0 Hikmah Pensyariatannya

-Qurban ialah ibadat. Setiap qurban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah. Hal ini samalah dengan ibadat-ibadat yang lain.

Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainnya tentang qurban adalah utk menghayati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim (ع) iaitu ketika Allah menguji baginda supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah menebusnya dengan seekor kibasy yang diturunkan-Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya. Peristiwa ini berlaku setelah Nabi Ibrahim dan anaknya berusaha bersama sama melaksanakan perintah Allah.

Di samping hikmah tersebut, ibadat qurban juga menolong orang fakir dan orang yang berhajat serta menggembirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Seterusnya dapat juga mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Idlam dan menanamkan semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

3.0 Hukum Qurban

-Hukum qurban ialah sunat muakkad tetapi kdgkala menjadi wajib dengan 2 sebab:

1. Apabila seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang boleh dijadikan qurban sambil berkata, "Ini ialah Qurbanku" atau "aku akan qurbankan kambing ini". Dengan itu dia wajiblah melakukannya.

2. Apabila seseorang berazam hendak melakukan qurban untuk mendampingkan diri kepada Allah dgn berkata "Aku mewajibkan diriku berqurban kerana Allah". Lantas menjadi wajib kepadanya melaksanakan qurban itu. Hal ini samalah jika dia mewajibkan dirinya melakukan sebarang "ibadat- ibadat sunat lain kerana ketika itu ia telah menjadi nazar".

4.0 Orang yang dituntut berqurban

Sunat berqurban bagi orang yang cukup syarat-syarat yang berikut:

-Islam. Tidak dituntut berqurban bagi orang yang bukan Islam

-Baligh dan berakal. Orang yang belum baligh dan tidak berakal tidak sunat berqurban kerana tidak mukallaf.

-Berkemampuan. Maksud berkemampuan ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka yang di bawah tanggungannya, sama ada makanan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari Tasyriq.

5.0 Binatang yang disyariatkan untuk Qurban

-Qurban hanya sah dengan unta, lembu, kambing dan biri-biri.

Hal ini berdasarkan firman Allah.

"ولكل أمة جعلنا منسكا ليذكرواٱسم الله على ما رزقهم من بهيمة الأنعم".³
yang bermaksud, Dan bagi tiap-tiap umat, kami syariatkan ibadat menyembelih qurban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanya kepada mereka; binatang-binatang yang disembelih itu".

-Tidak terdapat hadith Nabi (ص) atau kata kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan qurban selain daripada binatang-binatang tersebut.

-Binatang yang afdhal dijadikan qurban ialah unta, diikuti lembu dan kambing.

Harus berqurban dengan seekor unta jantan atau betina atau lembu untuk 7 orang.

Hal ini disebut dalam hadith

عن جابر رضي الله عنه قال: نحرنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم: عام الحديبية البدنة عن سبعة، والبقرة عن سبعة⁴.

Yang bermaksud, Daripada Jabir (ر) katanya, "Kami berqurban bersama-sama Rasulullah (ص) pada tahun Hudaibiyyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk 7 orang.

6.0 syarat Binatang Qurban

Umur

Umur unta yang hendak diqurban disyaratkan masuk tahun ke6. Umur lembu dan kambing telah masuk tahun ke3, manakala umur biri-biri pula telah masuk tahun kedua atau telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun.

Hal ini berdasarkan Hadith,
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله (ص) يقول: نعمت الأضحية الجذع من الضأن.5

Yang bermaksud, daripada Abu Hurairah katanya, Aku mendengar Rasullah bersabda, biri-biri yang paling baik dibuat qurban ialah yang berumur 8 ke 9 bulan.

Tidak cacat

ketiga tiga jenis binatang qurban tersebut tidak cacat yang menyebabkan kurang dagingnya. Oleh itu tidak sah Qurban kambing yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.

Hal ini berdasarkan hadith.

عن البراء بن عازب رضي الله عنه عن النبي (ص)قال: أربع لا تجزئ في الأضاحي: العوراء البين عورها والمريضة البين مرضها والعرجاء البين عرجها والعجفاء التي لا تنقي. 6

yang bermaksud, daripada al-Barra' bin Azib (ر) daripada Rasulullah (ص) sabdanya.
"4 perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan qurban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang."

Setiap perkara yang menyebabkan bintang itu kurus dan kurang dagingbya hendaklah diqiaskan kepada keempat-empat tersebut.

7.0 Waktu Qurban

Waktu Qurban bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Qurban, iaitu sekadar tempoh masa dua rakaat solat sunat hari raya dan dua khutbah. Waktu tersebut berterusan sehingga matahari terbenam pada hari raya tasyriq yang akhir. Hari Tasyriq ialah pada 11,12,13 zulhijjah. Waktu yang afdhal menyembelih binatang qurban ialah setelah selesai solat sunat hari raya.

Hal ini berdasarkan hadith

أول ما نبدأ به يومنا هذا نصلي، ثم نرجع فننحر، فمن فعل ذلك فقد أصاب سنتنا، ومن ذبخ قبل ذلك فإنما هو لحم قدمه لأهله ليس من النسك في شيء.7

Yang bermaksud perkara pertama yang kami lakukan pada hari raya ini ialah bersolat kemudian balik dan menyembelih binatang qurban. Sesiapa yang melakukan perkara tersebut mereka telah melaksanakan sunnah kami dan sesiapa yang melakukannya sebelum itu maka dagingnya adalah pemberian biasa kepada ahli keluarganya dan tidak dikira ibadat qurban.

Dalil hadith yang lain pula ialah

عن جبير بن مطعم رضي الله عنه قال: قال رسول الله (ص): وكل أيام التشريق ذبح.8

Yang bermaksud daripada jubair bin mut'im katanya, sabda Rasulullah (ص) dan setiap hari tasyriq adalah waktu untuk sembelihan qurban.

Rujukan kitab utama daripada kitab Al Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam asy Syafie oleh insan tokoh-tokoh hebat

1. Dr Mustafa al-Khin
2. Dr Mustafa al-Bugha
3. Ali al-Syarbaji



Nota kaki

1. Surah al Kauthar ayat 2

2. Riwayat Al Imam Bukhari (5245) dan Imam Muslim (1966)

3. Surah al Hajj ayat 34

4. Riwayat Muslim (1318)

5. Riwayat Ahmad (2/245)

6. Riwayat at Tirmizi (1497) dan Abu Daud (2802)

7. Riwayat Al Bukhari (5225) dan Muslim (1961)

8. Riwayat Ibnu Hibban (1008)

Ustaz Muhammad Muzani Almawi Assyafie
Lajnah atTa'lim wa atTarbiyyah PAQAF Alor Pongsu

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB