IDDAH PEREMPUAN KEMATIAN SUAMI
Ustaz Faridzuan Abdullah As-Sarawaki |
HUKUM TENTANG IDDAH KEMATIAN
Iddah العدة secara bahasa diambil daripada perkataan العدد bermaksud bilangan atau perhitungan.
Daripada istilah syara' iddah ini bermaksud
مدة تتربص فيها المرأة لمعرفة براءة رحمها أو للتعبد لتفجعها على زوج
"Satu tempoh penantian bagi seorang perempuan untuk mengetahui kesucian rahimnya atau untuk sebagai tanda pengabdian diri (kepada Allah), atau berkabung sedih atas (pemergian) suami."
Hikmah daripada iddah ini adalah untuk supaya tidak berlaku percampuran nasab. Ini adalah asal hukumnya. Kadang-kadang ianya boleh berubah kerana tujuan taa'bud iaitu mendekatkan diri kepada Allah seperti yang kita akan bincangkan nanti.
Iddah ini juga satu tempoh penantian yang telah ditetapkan had bilangan waktunya oleh syarak di dalam surah Al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud :.
"Wanita-wanita yang di talaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru'. Tidak boleh menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya berhak merujukinya dalam masa menanti itu, jika mereka para suami itu menghendaki islah yakni berbaik"
Di dalam ayat tersebut menyebut 3 kali quru'. Quru' bermaksud suci jadi perhitungannya adalah 3 kali suci bagi perempuan.
PEMBAHAGIAN IDDAH
Iddah terbahagi kepada 2 iaitu :
a) Iddah perpisahan diceraikan
b) Iddah perpisahan kerana wafat suami
1. Iddah penceraian tidak wajib kecuali bagi perempuan yang telah dijima' oleh suami adapun perempuan yang belum disentuh maka tiada iddah baginya.
Oleh kerana perempuan yang pernah disentuh oleh suami disuruh beriddah supaya tempoh iddah tersebut akan menyucikan rahimnya dan tidak akan berlaku percampuran nasab.
Adapun iddah cerai bagi perempuan hamil berdasarkan nas Al-Quran surah At-Talaq ayat 4 pada firman Allah Taala :
وأولات الأحمال أجلهن أن يضعن حملهن
"Dan perempuan-perempuan yang mengandung, tempoh iddah mereka ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandung."
Jikalau perempuan yang tidak hamil yang telah disentuh oleh suami maka iddah mereka adalah 3 quru' bersamaan 3 kali suci selepas haid.
Faedah :
Adapun tempoh iddah bagi orang tua monopaus atau kanak-kanak kecil yang belum haid maka tempoh iddah mereka dihitung hingga tempoh umur mereka putus haid iaitu 62 tahun, tempoh iddah mereka adalah selama 3 bulan.
2. Iddah untuk kematian suami
Adapun jikalau kes iddah kematian suami wajib keatas perempuan untuk berkabung, dan wajib juga dia meninggalkan segala perkara biasa dia lakukan seperti berhias dengan celak, mewarnakan rambut, dan hendaklah perempuan tersebut melazimkan dirinya dirumah.
Dan tempoh iddah bagi wanita kematian suami adalah 4 bulan 10 hari sama ada sudah disentuh ataupun tidak pernah disentuh oleh bekas suami.
Kebanyakan perempuan zaman sekarang mempunyai pekerjaan seperti guru, kerani, doktor dan sebagainya. Jadi bagaimanakah hukum mereka keluar dari rumah ketika tempoh iddah kematian suami?
Dalam menempuh bilangan iddah serta berkabung bagi kematian suami, seseorang perempuan itu tidak boleh keluar dari rumahnya sepanjang tempoh beriddah tersebut melainkan darurat atau keperluan hajat. Ini bertepatan dengan hadith nabi :
امكثي في بيتك حتى يبلغ الكتاب أجله
"Tetaplah kamu di rumah kamu, sehingga sampai tempoh yang telah ditetapkan" (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Ulama juga telah membahagikan serta membezakan antara hajat keperluan dan darurat.
Darurat itu adalah seperti contoh takut daripada rumah yang bakal roboh maka boleh keluar, atau dikhuatiri dengan kematian suami dia akan bertindak liar dan boleh memberi kesan buruk buat dirinya, atau sewa rumah semakin bertambah harga (kerana tiada pendapatan), kesemua sebab ini membolehkan perempuan keluar dalam tempoh iddah kematian suami.
Adapun keluar kerana keperluan hajat seperti keluar ke rumah jiran sebelah kerana ingin memujuk hati dan berbicara dengan jiran sebelah juga dibolehkan disebut dalam Syarah Yaqut An-Nafis.
Seperti pekerjaan para perempuan zaman sekarang diperbolehkan untuk mereka keluar kerana ianya adalah keperluan hajat untuk menyara kehidupan akan tetapi perlu diambil perhatian supaya keluar itu hanya untuk menunaikan keperluan dan tidak boleh pergi ke tempat lain melainkan menunaikan hajat keperluan.
Al-Imam Ahmad bin Hassan Al-Attas berkata, telah datang seorang perempuan menghadapnya yang ingin bertanya perihal ihdad yakni berkabung. Semasa itu, Qadi Al-Khoribah masih ada. Maka Imam Ahmad bin Hassan Al-Attas berkata kepada perempuan tersebut, "Adakah kamu ingin kata-kata ku (fatwa) atau fatwa dari Qadi?" maka perempuan itu menjawab, "Aku ingin kata-katamu wahai Imam". Imam Ahmad Bin Hassan berkata : "Lakukanlah engkau apa pun kecuali bernikah".
Berdasarkan penerangan di atas tentang iddah kematian suami, tidak boleh seorang perempuan itu keluar dari rumahnya ketika sedang beriddah melainkan terdapat perkara darurat ataupun keperluan hajat yang dibenarkan oleh syara'. Dan hendaklah beriddah dan berihdad (berkabung) selama 4 bulan 10 hari.
Intaha.
Jika ada kesilapan atau kesalahan mohon diperbetulkan para asatizah.
Wallahualam bissawab.
Ustaz Faridzuan Abdullah As-Sarawaki
Timbalan Lajnah atTa'lim wa atTarbiyyah PAQAF Alor Pongsu Perak
Ulasan
Catat Ulasan