CARA QADHA SOLAT BAGI WANITA HAID

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد الله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Alhamdulillah syukur pada Allah kerana menjadikan kita insan yang taat dan sukakan ilmu. InsyaAllah pada kali ini Lajnah at Ta'lim wa at Tarbiyyah Pusat Pengajian Al Quran Al Farihin Alor Pongsu akan berkongsi berkenaan cara qadha solat bagi wanita yang haid, mudah-mudahan ada manfaatnya untuk semua.



CARA QADHA SOLAT BAGI WANITA HAID

Hukum asalnya adalah mana-mana wanita yang kedatangan haid tidak perlu mengqadha solat mereka berdasarkan Hadith Aisyah, adalah Fatimah bin Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ  فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: “Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”

Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam mensyarahkan hadis ini: “Telah bersepakat para ulama bahawa ke atas wanita itu tidak ditaklifkan (diwajibkan) untuk bersolat dan tidak ditaklifkan untuk menggantikannya.”

Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/22-23)

Solat yang ditinggalkan sewaktu haid tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Ini kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah ﷻ jadikan bagi wanita. Ini berdalil hadis yang diguna pakai adalah hadis Aisyah R.Anha:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid)."

Riwayat Muslim (335)

Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Berkata ashab kami (ulama Syafieyyah) setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaa (solat sunat) tawaf.”

Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/26)

Kaedah Menggantikan Solat Bagi Wanita Berhaid

Berkenaan kaedah mengqadakan solat bagi wanita, para ulama meletakkan dua kaedah berikut.

Kaedah Zawal al-Mani` (Hilangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Nawawi:

“Sekiranya berbaki pada waktu kadar takbiratulihram dan lebih, yang tidak sampai kadar satu rakaat, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih dengan sepakat Ashab, wajib keatasnya solat berkenaan kerana dia sempat mendapat satu bahagian daripadanya sama seperti hukum sempat mendapat solat Jamaah.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/65)

Apabila hilangnya mani’ (penghalang solat, seperti haid, dan gila) sedangkan berbaki masa sebelum habisnya suatu waktu solat kadar takbiratulihram dan lebih (satu lahzah dan lebih), maka wajib diqadakan solat itu. Begitu juga solat sebelum itu wajib diqadha jika solat itu daripada jenis yang boleh dijamak dengannya. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

a) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Asar, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Asar dan mengqadakan solat Zuhur.

b) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Isyak, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Isyak dan mengqadakan solat Maghrib.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm.196-197)

Ini kerana waktu Asar adalah waktu darurat bagi solat Zuhur, dan waktu Isyak adalah waktu darurat bagi solat Maghrib.

Rujuk kitab al-Tahqiq (hlm. 193-194) oleh Imam al-Nawawi.

Kaedah Turu’ al-Mani` (Datangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Syirazi:

“Sekiranya seseorang itu sempat mendapatkan sebahagian daripada awal waktu solat kemudian datang kepadanya suatu keuzuran… sedangkan dia sempat mendapat daripada waktu itu masa yang yang cukup untuk dia solat fardu… maka kekallah kewajibannya dan wajib qada jika hilang uzur itu.”

Rujuk al-Majmu` (3/66-67)

Apabila haid datang, setelah berlalunya waktu solat dengan kadar perlaksanaan solat fardhu tersebut, maka wajib diqadakan solat itu, jika dia belum melaksanakannya. Ini kerana dia cukup masa melakukannya pada awal waktu, dan dia boleh bersuci seperti berwuduk dan mandi sebelum masuk waktu. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

a) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti.

b) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, sebelum sempat berlalunya masa kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, maka tidak wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar itu. Contohnya, masuk waktu Asar jam 4.45 petang, haid datang pada jam 4.46 petang.

c) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar bersuci dan perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, dan dia tidak boleh bersuci sebelum masuk waktu disebabkan tayammum atau sentiasa dalam hadas (kes istihadah atau kencing tak lawas), maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti. Jika tidak sempat bersuci dan menunaikan solat fardu, maka tidak wajib qada’.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 197)


Adalah wajib bagi wanita yang berhenti haidnya pada waktu Asar atau Isyak untuk menunaikan solat fardhu tersebut serta mengqadhakan solat fardhu yang sebelumnya yakni solat Zuhur atau Maghrib

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Yang sahih di sisi kami (mazhab al-Syafie) bahawa mereka yang uzur wajib untuk melaksanakan solat Zuhur jika dia sempat melaksanakan apa yang wajib dengannya dalam solat Asar (apabila hilang uzurnya). Inilah pendapat Abdurrahman bin Auf, Ibn Abbas, ahli fiqh Madinah yang tujuh, Ahmad, dan selain mereka. Manakala kata al-Hasan, Qatadah, Hammad, al-Thauri, Abu Hanifah dan Malik, tidak wajib ke atas orang itu.)”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/66)

Justeru, wajib qadha waktu pertama bukan hanya bersifat afdhal (lebih baik) tetapi wajib kerana waktu kedua adalah waktu uzur bagi solat pertama.

Buktinya seperti kata Imam al-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab: “Dalilnya ialah bahawa waktu Asar bersama waktu Zuhur, dan waktu Isyak bersama waktu Maghrib adalah hak orang yang uzur yakni musafir. Maka, mereka yang berada dalam kategori uzur (seperti wanita berhaid apabila suci, orang gila apabila sedar dan lain-lain), waktu kedua itu adalah waktu solat pertama di sisi mereka.”

Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah  menghuraikan: “Sekiranya solat (kedua) yang sempat itu adalah Subuh, Zuhur, atau Maghrib maka tidak wajib solat melainkan solat itu sendiri. Sekiranya solat Asar dan Isyak, maka wajib melaksanakan solat Zuhur dengan Asar, dan solat Isyak dengan Maghrib tanpa khilaf (dalam mazhab al-Syafie).” Pendapat yang azhar (tepat) bahawa waktu solat yang sempat itu ialah seseorang itu berada dalam suatu waktu solat tidak kurang masanya daripada kadar takbiratul ihram, manakala pendapat lain ialah satu rakaat.

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/65)

Akhir kalam, tidak perlu bagi wanita yang habis haid pada waktu Maghrib untuk mengqadakan solat Asar dan Zuhur. Begitu juga dia tidak perlu mengqadakan solat Zuhur bagi orang yang kedatangan haid pada waktu Asar sedangkan dia sudah melaksanakan solat Zuhur tersebut. Begitu juga tidak perlu mengqadakan solat Maghrib bagi orang yang kedatangan haid pada waktu Isyak sedangkan dia sudah melaksanakan solat Maghrib tersebut.

Kenali PAQAF dengan klik link di bawah

PAQAF ALOR PONGSU




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB