Tidak batal wuduk kerana makan daging unta


PENDAPAT YANG MENGATAKAN TIDAK BATAL

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa memakan daging unta tidak membatalkan wudhuk. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, diriwayatkan bahawa Nabi SAW:

إنَّمَا الْوُضُوءُ مِمَّا يَخْرُجُ وَلَيْسَ مِمَّا يَدْخُلُ
Maksudnya: “Sesungguhnya berwudhuk (perlu) berdasarkan apa yang keluar, bukannya berdasarkan apa yang masuk.” [Riwayat al-Baihaqi (708)][Imam al-Nawawi mengatakan riwayat al-Baihaqi ini sanadnya adalah hasan atau sahih][Imam al-Zahabi mengatakan riwayat ini adalah mawquf di dalam Tanqih al-Tahqiq dan begitu juga Imam al-Mulaqqin di dalam Khulasah al-Badr al-Munir]
 Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’:

وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا ينتقض الوضوء بشئ مِنْ الْمَأْكُولَاتِ سَوَاءٌ مَا مَسَّتْهُ النَّارُ وَغَيْرُهُ غَيْرَ لَحْمِ الْجَزُورِ وَفِي لَحْمِ الْجَزُورِ بِفَتْحِ الْجِيمِ وَهُوَ لَحْمُ الْإِبِلِ قَوْلَانِ الْجَدِيدُ الْمَشْهُورُ لَا يَنْتَقِضُ وَهُوَ الصَّحِيحُ عِنْدَ الْأَصْحَابِ وَالْقَدِيمُ أَنَّهُ يَنْتَقِضُ وَهُوَ ضَعِيفٌ عِنْدَ الْأَصْحَابِ وَلَكِنَّهُ هُوَ الْقَوِيُّ أَوْ الصَّحِيحُ مِنْ حَيْثُ الدَّلِيلُ وَهُوَ الَّذِي أَعْتَقِدُ رُجْحَانَهُ
Maksudnya: “Mazhab kami (mazhab al-Syafi’e) adalah tidak membatalkan wudhuk sesuatu daripada makanan samada ia dikenakan api (dimasak) atau selain daripadanya melainkan daging unta terbahagi kepada dua pendapat. Pendapat yang baru lagi masyhur (dalam mazhab al-Syafi’e) adalah tidak membatalkan wudhuk dan pendapat ini adalah sahih di sisi ashab al-Syafi’eyyah. Adapun, pendapat yang qadim (pendapat lama dalam mazhab al-Syafi’e) adalah membatalkan wudhuk dan pendapat ini adalah dhaif (lemah) di sisi ashab al-Syafi’eyyah. Akan tetapi, pendapat ini (pendapat yang lemah) lebih kuat atau sahih dari sudut dalil dan aku lebih cenderung kepada pendapat ini dari sudut ketepatannya.” [Lihat: al-Majmu’, 57/2]

PENDAPAT YANG MENGATAKAN BATAL

Adapun, mazhab Ahmad dan juga pendapat qadim (terdahulu) di dalam mazhab al-Syafie mewajibkan berwudhuk bagi orang yang memakan daging unta dalam semua keadaan iaitu dalam keadaan daging itu mentah atau dimasak dan juga samada orang tersebut tahu (akan batalnya wudhuk dengan memakan daging tersebut) dan jahil (tidak tahu).

Pendapat ini dipegang oleh Ishak bin Rahawayh, Yahya bin Yahya dan dikhabarkan oleh al-Mawardi daripada kalangan sahabat pula ialah Zaid bin Thabit RA, Ibn Umar RA, Abu Msa RA dan Abu Talhah RA. Ia juga merupakan pilihan bagi beberapa orang ulama’ yang bermazhab al-Syafie seperti Abu Bakar bin Khuzaimah, Ibn Munzir, al-Baihaqi dalam tarjihan serta pilihannya dan juga pendapat tersebut dikuatkan (disokong) oleh al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Majmu’.

Mereka ini menggunakan dalil daripada hadith al-Barra’ bin Azib berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْوُضُوءِ مِنْ لُحُومِ الْإِبِلِ، فَقَالَ: تَوَضَّئُوا مِنْهَا، وَسُئِلَ عَنْ لُحُومِ الْغَنَمِ، فَقَالَ: لَا تَوَضَّئُوا مِنْهَا
Maksudnya: “Nabi SAW ditanya berkaitan daging unta. Maka Nabi SAW menjawab: “Berwudhuklah kamu disebabkannya. Baginda SAW juga ditanya berkaitan daging kambing. Maka jawab Baginda SAW: Tidak berwudhuk disebabkannya.” [Riwayat Abu Daud (184)] [Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah sahih]

KESIMPULAN

Makan daging unta itu tidaklah membatalkan wuduk kerana pendapat tersebut merupakan pendapat qadim Imam Syafie dan ia dikira sebagai pendapat yang dhaif, adapun pendapat Jadid dan Jumhur Ulama mereka berpendapat bahawa tidaklah batal wuduk dengan memakan daging unta

Dikeluarkan oleh Ustaz Muhammad Albakri
Lajnah atTa'lim wa atTarbiyyah PAQAF

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB