KEHIDUPAN YANG SEBENAR

عيش A'isyun yang bermaksud secara bahasa adalah kehidupan atau eksis dan secara istilah bahawasanya dalam kehidupan kita memerlukan kepada makanan, minuman dan kasih sayang dan yang lainnya. Ianya merangkumi zahir dan batin atau jasmani dan rohani itulah maksud Hidup.

Tanpa semua perkara yang disebut ianya belum sempurna dan ianya tidak dinamakan kehidupan. Oleh kerana itu lengkapi lah hidup anda dengan maksud sebenar kehidupan.

Kehidupan di dunia juga mempunyai tujuan. Persoalannya apakah tujuan hidup? Tadi kita membicarakan maksud kehidupan tetapi sekarang kita ingin membicarakan tentang tujuan hidup? Mana hala tuju kehidupan kita di dunia ini?
Firman Allah SWT dalam surah Ad-Dzariyat ayat ke 56 :
وَ مَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
" Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaKu."

Didalam ayat ini Allah swt memberikan khususiyat kepada umat Jin dan Manusia untuk beribadah kepadaNya dan itulah tujuan kita hidup di dunia. Beribadah Kepada Allah yakni maksud ibadah ini adalah penghinaan diri di hadapan Allah dan penyerahan diri kita di mana kita mentaati segala perintah dan laranganNya.

Setelah kita mengetahui tujuan kita hidup maka Allah telah menyebut lagi bahawa selagi mana kita hidup di dunia sudah semesti kita akan diuji sepertimana disebut dalam surah al-Baqarah ayat 155 :

لنبلونكم بشيء من الخوف و الجوع و نقص من الأموال و الأنفس و الثمرات و بشر الصابرين

"Demi sesungguhnya kami akan menguji kepada kalian sesuatu daripada takut (kepada musuh) dan kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman maka berilah khabar gembira bagi orang-orang yg bersabar"

Dalam tafsir At-Thobari menghuraikan bahawa ayat ini menunjukkan bahawa kehidupan di dunia sudah semestinya kita akan diberi ujian oleh Allah dengan rasa takut yakni takut kepada musuh musuh kita, takut kepada musibah yg bakal menimpa atau takut kepada kesedihan, rasa lapar yang bakal menimpa ke atas kita, dan kekurangan harta yang bakal ditimpa keatas kita. Dengan cara diuji ini Allah akan melihat orang-orang yg bersabar dan Allah sebut di akhir ayat tersebut "berikanlah khabar gembira bagi orang orang yg bersabar" menunjukkan besarnya pahala yg menanti bagi orang yg bersabar dengan ujian Allah SWT. Di sini juga Allah ingin melihat keimanan, keyakinan dan kebergantungan kita pada Tali Allah Swt.

Apabila kita memerhati kehidupan manusia zaman sekarang, di mana kehidupan mereka penuh dengan tipu daya keduniaan. Di mana kita semua ditipu dan mempercayai bahawasanya tanpa harta kita tidak akan dapat kebahagiaan. Akan tetapi hakikatnya memang kita memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan kita zaman sekarang. Kita semua bergantung kepada wang kertas untuk meneruskan kehidupan kita. Itu kita semua setuju cuma apakah yg menjadi perbezaan diantara zaman Rasulullah dan sahabat dengan zaman kita sekarang?
Apakah perbezaannya?

Zaman Rasulullah mereka para sahabat dididik supaya Zuhud di dunia dan zuhud pada apa yg ada di sisi manusia. Sepertimana sabdaan Baginda Nabi SAW
Hadith yg Diriwayatkan oleh Abi Abbas Sahl Bin Sa'id As-Sai'die Radiyallahu Anhu beliau berkata : Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW beliau bertanya "Wahai Rasulullah tunjukkan kepadaku amalan yang jika aku kerjakan maka Allah dan manusia mencintai aku" Maka Baginda Bersabda :

ازهد في الدنيا يحبك الله و ازهد فيما عند الناس يحبك الناس

"Zuhud lah engkau di dunia maka Allah akan mencintaimu, dan zuhud lah engkau apa yg ada di sisi manusia maka manusia akan mencintai engkau." (Ibn Majah)

Menurut hadith ini menunjukkan didikan Rasulullah kepada para sahabat bahawa zuhud yang membawa maksud Qanaah atau syukur walaupun sedikit dan lebih syukur apabila banyak. Dan kasih sayang Allah di dalam hadith ini menunjukkan Redha Allah terhadap hambanya. Lalu dengan redha ini manusia akan merasa lebih tenang hidup di dunia. Manakala zuhud pada apa yg disisi manusia ini adalah bilamana kita melihat manusia ini mempunyai kelebihan dari sudut harta benda dan, sebagainya tetapi kita tidak meminta dan tidak cemburu walau hatta dengki maka manusia pasti mencintai kita dan menyukai sikap kita sudah semesti kita harus membuang sifat hubbud Dunya dalam jiwa kita terlebih dahulu.

Jika dilihat pada kehidupan peredaran zaman, sifat masyarakat sekarang yg terikut dengan gaya trend dan mereka lebih suka untuk meniru dan menjadi orang yg mereka lihat mempunyai kelebihan daripada mereka itu sebagai ikutan dan contoh akan tetapi ada juga sesetengah mereka yg dengki dan suka untuk menjatuhkan sesama mereka oleh kerana tiada sifat zuhud dan Qanaah dalam jiwa mereka. Kunci bagi kebahagiaan ini adalah bersyukur. Walaupun sedikit nikmat yg diterima syukur dan jangan pernah sesekali kufur dengan nikmat yg telah diberi.

Al-Faqir teringat satu nasihat daripada sahabat karib, ketika beliau menasihati tentang rezeki.

Al Fadhil berkata : "Jangan pernah rasa down dengan melihat orang lain berlimpah limpah rezekinya, itu rezeki dia dan itulah waktu Allah nak beri dia rezeki, nanti tiba masa rezeki hang pulak hang dapat dari Allah pulak. Banyak kan besabaq noh."

Daripada nasihat sahabat Al-Faqir ini dia menasihati aku supaya bersabar dan bersyukur dan sentiasa rasa Qanaah.

Oleh kerana masalah rezeki ini juga kebanyakan manusia mengalami stress, bukan itu sahaja tetapi stress dengan masalah kehidupan yang lain seperti stress keluarga, hubungan jodoh, pekerjaan dan sebagainya. Ingatlah saudara saudari sekalian bahawa kehidupan di dunia ini hanya sebentar dan kehidupan di akhirat lebih lama kita bakal hadapi.

Ingatlah bahawa ujian kehidupan yang Allah beri untuk kita ini adalah supaya kita jadi orang yang lebih matang dan kuat di masa akan datang. Lebih kurang macam kita main game saudara saudari sekalian, semakin naik level kita semakin hebat dan teror kita tetapi level ujian juga semakin meningkat.

Allah takkan bagi ujian yang kita tak mampu pikul, tapi Allah bagi ujian yg setimpal dengan kemampuan kita cuma mungkin kita tak tahu lagi macam mana nak solve puzzle tu. That's the puzzle you must solve on your own. Macam mana nak selesaikan masalah? Itu insya Allah kita akan perbahaskan dalam perbahasan yg lebih panjang. Secara ringkasnya, minta nasihat orang yg bijak dan matang dan jangan lupa minta petunjuk daripada Allah swt.

Allah swt dah ciptakan dunia ni cantik buat kita, tapi manusia yang burukkan dunia ini dengan sikap dan perangai mereka hingga yang merasai negativity ini adalah kita semua sampai kita merasa stress. Yang melakukan kerosakan di muka bumi ini tidak lain melainkan daripada tangan manusia sendiri. Tetapi tetap juga kita diberikan peluang oleh Allah swt untuk memperbaikinya. Dalam satu hadith Baginda Nabi bersabda :

إن الدنيا حلوة خضرة و إن الله مستخلفك فيها

"Sesungguhnya dunia ini cantik dan kehijauan, dan sesungguhnya Allah memilih kalian (manusia) sebagai pentadbir muka bumi ini." (Riwayat Muslim)

Akhiran, moga moga kita diberikan kekuatan untuk menghadapi segala ujian dan cabaran di dunia ini dan lepas timbangan di akhirat dengan jayanya tanpa hisab.

Cukup di sini coretan Al-Faqir tentang kehidupan. Terima kasih sudi membaca jikalau ada salah silap dalam coretan Al-Faqir harap ditegur dan moga kita semua sentiasa dirahmati oleh Allah swt barakallahu fiekum.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SURAH AL-MULK-KELEBIHAN DAN DOA

Adab & Doa Masuk Hotel & Homestay

UCAP DAN UCAPAN BALAS RAYA DALAM BAHASA ARAB